KONTROVERSI MEMBERI DAN MENJAWAB SALAM BUKAN ISLAM

JAWAPAN KEPADA ARTIKEL YANG DITULIS OLEH MOHAMAD ABDUL KADIR BIN SAHAK MENGENAI KONTROVERSI MEMBERI DAN MENJAWAB SALAM BUKAN ISLAM

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ustaz Abdul Kadir Sahak di atas tulisan beliau mengenai kontroversi memberi dan menjawab bukan Islam. Kita juga rasa bangga di atas usaha dakwah yang dilakukan oleh ustaz dan rakan-rakan membanteras khurafat dan bid’ah di Malaysia.  Daripada tulisan itu, banyak maklumat yang ustaz Abdul Kadir berikan kepada kita dan mungkin satu kegembiraan kepada pihak-pihak yang menyokong pandangan Tuan Mufti Perlis tersebut.

Tulisan saya tempohari pada asalnya ditujukan kepada Tuan Mufti Perlis, Sahibus Samahah Dr Mohd Asri Zainul Abidin untuk beliau sendiri memberikan penjelasannya.  Tetapi ustaz Abdul Kadir mungkin dengan inisiatif sendiri telah bersusah payah mengumpul maklumat untuk menjawab bagi pihak Tuan Mufti Perlis.  Ini adalah satu usaha yang patut dipuji.

Daripada beberapa pertanyaan yang saya tujukan kepada Tuan Mufti, tidak semuanya terjawab seperti mana yang saya kehendaki.  Saya tidak pasti adakah ustaz Abdul Kadir benar-benar memahami soalan atau ustaz hanya menjawab mengikut apa yang ustaz tahu sahaja.  Di bawah ini saya ulangi soalan saya untuk diberikan perhatian semua pihak:

i. Saya memohon penjelasan mengenai surah an-Nisa’ ayat 86 yang menjadi dalil boleh menjawab salam orang bukan Islam dengan cara yang lebih baik atau cara yang sama seperti berikut:-

Pertama: Apakah kewujudan hukum memberi salam kepada bukan Islam di dalam ayat tersebut bersifat ibaaratun nash atau dalaalatun nash atau isyaaratun nash?  Dan kalau ia wujud, adakah ia mutabaqah, tadammuni atau iltizam?
 
Kedua: Seterusnya, saya ingin bertanya apakah perkataan “tum” (kamu) dalam konteks ayat tersebut merujuk kepada ‘nau’iyyah’, ‘jinsiyyah’ atau ‘istighraqiyyah’?

Saya minta penjelasan ustaz mengikut kefahaman dan ilmu ustaz.  Jika ustaz tidak mampu membahaskan perkara-perkara tersebut, ini bermakna ilmu kita tidak seimbang dan tidak setaraf. Perbahasan tidak seharusnya diteruskan.  Kita berharap pada lain masa, ustaz tidak lagi mengambil bahagian di dalam bahasan seperti ini.

ii. Adakah doa orang bukan Islam diterima di sisi Allah (subhanahu wata’ala)? Dan bagaimana pula kedudukan doa kita kepada orang bukan Islam tersebut? Bagaimana pula maksud hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah (radiallahua’anh) di atas dapat disesuaikan bagi menentukan peringkat-peringkat pembahagian pahala dalam hal seperti ini? Semuanya itu memerlukan penjelasan. Dalam al-Qur’an, Allah (subhanahu wata’ala) berfirman yang maksudnya:

“..Dan tiadalah ibadah dan doa permohonan orang-orang kafir itu melainkan dalam kesesatan”  (Surah ar-Ra’d ayat 14)

Sebagai tambahannya firman Allah (subhanahu wata’ala) yang maksudnya;

“Mereka itu orang-orang yang telah kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan( kufur terhadap) perjumpaan denganNya, maka hapuslah amalan-amalan mereka, dan kami tidak megadakan penilaian (timbangan) bagi (amalan)  mereka pada hari Kiamat.” <b>(Surah al-Kahfi ayat 105)</b>.

iii. Saya ingin memohon penjelasan siapakah kafir zimmah, kafir harb atau lain-lain?  Di manakah kategori orang kafir di Malaysia ini? Sila jawab dan bahas mengikut ilmu dan kefahaman yang ada di dalam dada.

Dalam kitab Rasyidiah (kitab munazarah) menyebutkan bahawa syarat berbahas, ilmu di antara kedua-dua pihak perlu seimbang. Jawab mengikut apa yang ditanya, bukan menjawab apa yang kita tahu. Ia bermakna pihak A faham apa yang pihak B katakan dan pihak B faham apa yang pihak A katakan. Kalau tidak, pihak A tidak boleh berbahas dengan pihak B.  Daripada tulisan ustaz itu, nampaknya ustaz tidak faham apa yang ditanya begitulah jika sebaliknya.  

Ustaz Abdul Kadir hendaklah mengetahui bahawa tidak semua maklumat yang ustaz kumpulkan di dalam tulisan ustaz yang lalu adalah ilmu. Mengumpul sebanyak mana maklumat sekalipun ia tidak bermakna kita mempunyai ilmu yang luas.  Tetapi pada sesetengah pendapat, maklumat itu adalah ilmu dan kepada sesetengah pendapat maklumat sebenarnya bukannya semata-mata ilmu. Kita boleh membuat rumusan bahawa tiap-tiap ilmu itu adalah maklumat tetapi bukan semua maklumat itu adalah ilmu. Oleh itu, saya ingin bertanya apakah ‘takluk’ di antara keduanya?

Sebab itu kita lihat berapa ramai orang yang berkelulusan tinggi dari universiti, tetapi mempunyai fahaman yang salah mengenai Islam. Al-Imam As-Syafi’e (rahimahullah) mengatakan al-ilmi fi sadri yang maksudnya ilmu aku di dalam dadaku.

Saya akan menjelaskan beberapa perkara yang telah dibangkitkan daripada tulisan Ustaz Abdul Kadir bagi menghormati inisiatif beliau membahaskan artikel saya untuk dinilai semula oleh semua pihak.

DALIL YANG DIGUNAKAN OLEH PIHAK YANG MEMBOLEHKAN MEMBERI DAN MENJAWAB SALAM BUKAN ISLAM

1- Seperti mana yang saya katakan sebelum ini, sebenarnya tidak ada satu bukti pun dari nas al-Qur’an dan al-Hadis Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) yang menunjukkan bahawa kita dibolehkan memberi dan menjawab salam mengikut lafaz salam yang diucapkan oleh orang Islam sesama Islam. Semua hadis dan riwayat yang digunakan sebagai bukti boleh memberi dan menjawab salam orang bukan Islam adalah terlalu umum dan ia tidak boleh dapat dijadikan hujah yang kuat.  Malahan hadis Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) yang melarang menjawab salam itu lebih jelas.  Kalaulah ada riwayat yang menunjukkan boleh memberi salam berdasarkan amalan para Sahabat (radiallahu anh), ia bukan pilihan jumhur dan ia dipertikaikan dari pelbagai sudut dan setakat ini ia tidak diamalkan oleh umat.  Bolehkah ustaz tunjuk, orang Islam dari negara manakah di dalam dunia ini yang memberi salam kepada bukan Islam?  Jika ada, tentu kesannya sampai kepada kita pada zaman sekarang.

2- Pihak yang mengatakan boleh memberi salam kepada bukan Islam berdalilkan ayat al-Quran dari surah al-Nur ayat 27 yang maksudnya;

Nur [27]Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu”.

Jawapan:

Ayat ini adalah ayat yang umum tetapi hendaklah ianya dikhususkan kepada rumah-rumah orang Islam.  Inilah pendapat yang lebih tepat dan lebih benar berdasarkan terdapatnya hadis yang jelas melarang memberi salam kepada bukan Islam.  Riwayat dari Ibrahim Nakhae’i seperti yang diambil dari kitab tafsir Imam at-Thobari bukan pegangan jumhur kerana ia adalah ‘matruqul ‘amal’ yakni amalan yang tidak dipakai atau ditinggalkan oleh para perawinya. Pendapat boleh memberi dan menjawab salam bukan Islam dengan lafaz salam yang sama seperti salam sesama muslim adalah syaz (ganjil) dan gharib (pelik) dan bukan amalan kebiasaan umat Islam. Kalaulah riwayat seperti ini penting tentulah para imam mazhab yang empat memberikan perhatian.

3- Mereka juga memetik ayat al-Qur’an dari Surah al-Zukhruf ayat 89 di mana Allah (subhanahu wata’ala) berfirman yang maksudnya;

Zukhruf [89] Dan (Allah) mengetahui ucapan Muhammad: “Ya tuhanku, sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang tidak beriman. Maka berpalinglah dari mereka dan katakanlah ‘salam’, kelak mereka akan mengetahui nasib mereka yang buruk.”

Jawapan:

Sebagai asas perbahasan, kita hendaklah membezakan di antara nash al-Qur’an dan al-Hadith dengan kefahaman orang terhadap nash.  Pendapat Syeikh Faisol Mawlawi dengan menaqalkan tafsiran al-Syanqiti adalah tidak betul.  Perkataan ‘salam’ dalam ayat tersebut bukannya lafaz salam yang bermaksud doa’.  Ia bermaksud ‘selamat tinggal’ iaitu salam melepaskan diri. Jika ia dikatakan sebagai salam doa’ kenapa pula Allah (subhanahu wata’ala) menyambung dengan firmannya “… kelak mereka akan mengetahui nasib mereka yang buruk”?

Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada pengertian al-Qur’an yang dikeluarkan oleh JAKIM telah memberi jalan keluar kepada masalah ini.  Setakat ini yang saya tahu, kitab terjemahan ini adalah yang terbaik kerana dihasilkan dari rujukan pelbagai kitab tafsir yang muktabar.

Zukhruf [89] (Tuhan menjawab rayuannya dengan berfirman): “Jika demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka dan katakanlah: Selamat tinggallah! Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)!”

Furqan [63] Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahmaan (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan ‘salaama’ (selamat dari perkara yang tidak diingini / selamat tinggal);

Al-Qasas [55] Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya sambil berkata: “Bagi kami amal kami dan bagi kamu pula amal kamu; Selamat tinggallah kamu; kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil”.

4- Mereka juga berhujah dengan ucapan Nabi Ibrahim (alaihissalam) kepada ayahnya yang tidak beriman seperti mana yang dirakamkan di dalam surah Maryam ayat 47 yang bermaksud;

Maryam [47] Berkata Ibrahim: “Salamun ‘alaika, aku akan meminta ampin dari Tuhanku untukmu; sesungguhnya Ia amat baik terhadapku.

Jawapan:

Kita hendaklah memahami bahawa lafaz ‘salamun ‘alaika‘ di dalam ayat ini juga bermaksud “selamat tinggallah”. Rujuk tafsir Pimpinan Ar-Rahman:-

Maryam [47] Nabi Ibrahim berkata: “Selamat tinggallah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Ia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku.

Dalam mentafsir  ayat 47 surah Maryam kita harus melihat kisah ini secara keseluruhannya bermula dari ayat 42 hingga 49…

[42] Ketika dia berkata kepada bapanya: Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun?.
[43] Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku dari ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu oleh itu ikutlah daku; aku akan memimpinmu ke jalan yang betul.
[44] Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.
[45] Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi Syaitan di dalam Neraka.
[46] (Bapanya) menjawab: Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu aku akan melontarmu dengan batu dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa.
[47] Nabi Ibrahim berkata: Selamat tinggallah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Dia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku.
[48] Dan aku akan membawa diri meninggalkan kamu semua serta apa yang kamu sembah yang lain dari Allah dan aku akan beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas; mudah-mudahan aku dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa (dan derhaka seperti kamu).
[49] Maka apabila dia berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, Kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya) dan Yaakub (cucunya) dan kedua-duanya Kami jadikan berpangkat Nabi.

Apa yang diucapkan Nabi Ibrahim ialah ucapan perpisahan bukan doa’ kesejahteraan atau salam. Terdapat larangan Allah dari berdoa kepada orang kafir:-

Taubah [80] (Orang-orang munafik itu) sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan mereka; yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya; dan Allah tidak akan memberi hidayat petunjuk kepada kaum yang fasik.

Taubah [84] Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka).

Dalam ayat 84 ini, “walaa tusolli” bukan sahaja bermaksud solat  atau sembahyang bahkan ia merangkumi apa jua yang berbentuk doa’ dan ia dilarang sama sekali oleh Allah(subhanahu wata’ala).

Ayat 113 dan 114 surah Taubah menjawab ayat 47 surah Maryam yang dikemukakan di atas iaitu Nabi Ibrahim (‘alaihissalam) tidak dibenarkan berdoa’ untuk bapanya yang kafir.

Taubah [113] Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun (doa’) bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli Neraka.

Taubah [114] Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, dia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.

Tiap-tiap doa’ itu adalah ucapan selamat tetapi bukanlah tiap-tiap ucapan selamat itu doa’. Sebagai contohnya seperti ucapan selamat pagi, selamat tinggal atau seumpamanya. Untuk memahami sama ada ucapan ‘salam’ itu doa’ atau ucap selamat, kita kena membaca keseluruhan al-Qur’an. Bukannya mengambil satu ayat dan buat kesimpulan. Ayat-ayat al-Quran itu berkaitan di antara satu sama lain. Allah SWT dengan tegas melarang kita berdoa’ kepada orang bukan Islam. Surah at-Taubah atau ‘Baraa’ah’ bermaksud pengasingan iaitu pemisahan Islam dari Kafir.

HUJAH-HUJAH YANG BERIKUTNYA:

1- Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a. maksudnya: “Janganlah memulakan ucapan salam kepada Yahudi dan Nasrani..” dikatakan mempunyai illah (sebab) berlakunya peristiwa khusus iaitulah peristiwa peperangan dengan Bani Quraizah, daripada Abu Basrah yang menyebut bahawasanya Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) bersabda:

Sesungguhnya kita esok pagi akan (bertemu di Bani Quraizah) orang-orang Yahudi, maka janganlah kamu semua memulakan salam kepada mereka, jika mereka memberikan salam kepada kamu, maka jawablah wa’alaikum.” (Hadith ini riwayat Ahmad, al-Tobrani di dalam al-Kabir)

Jawapan:

Kaedah yang digunakan oleh Syeikh Faisol Mawlawi iaitulah dengan kaedah al-jam’u baina al-riwayatain (mengabungkan antara dua riwayat) adalah tidak tepat dan itu hanyalah pandangan beliau semata-mata. Adakah beliau mengetahui bahawa tidak semua ‘illah mempunyai satu pengertian? Para fuqaha’ membahagikan illah kepada dua jenis iaitu pertama ‘illah muatthir’ (illah yang mempunyai kesan) dan yang kedua ‘illah ghairu muatthir (illah yang tidak memberi kesan).  Perbahasan illah-illah jenis ini banyak kita temui dalam menafsirkan ayat-ayat dari Kitab suci al-Qur’an dan juga di dalam kitab-kitab fiqh.

Hadis riwayat Muslim di atas yang melarang memberi salam adalah hadis yang bersifat secara mutlaq dan ia tidak terbatas dalam suasana peperangan sahaja. Bahkan hadis itu hadis yang berbentuk tahqiq (membenarkan dan mengesahkan) bahawa ia adalah satu perintah untuk umat Islam. Ia juga bermakna jika sebelum peperangan kita tidak boleh memberi dan menjawab salam orang kafir, semasa peperangan ia tentulah lebih-lebih lagi.  Hujah saya adalah, tidak ada satu riwayat yang kukuh sama ada sebelum dan selepas peperangan, Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) mengizinkan umat Islam memberi dan menjawab salam orang bukan Islam. Hadis-hadis Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam), riwayat dari Sahabat (radiallahu anh) dan para tabi’in yang dikatakan boleh memberi dan menjawab salam itu sangat tidak jelas sama ada ucapan salam yang mereka maksudkan adakah ianya ucapan kebiasaan budaya sesuatu bangsa seperti ‘salam’, ‘ahlan wa sahlan’, ‘sabaahun nuur’ atau seumpamanya? Kalau inilah bentuk dan lafaz ucapannya kita tidak ada masalah dengan mereka.

Kesimpulannya, kewujudan ‘illah yang cuba disabitkan oleh Syeikh Faisol Mawlawi adalah bersifat ‘illah ghairu muatthir’ iaitu illah yang tidak memberi kesan sama ada ianya semasa peperangan atau tidak semasa peperangan. Pendirian tidak memberi dan menjawab salam bukan Islam (iaitu salam doa’ dengan lafaz ‘assalamu ‘alikum warahmatullahi wabarakatuh‘) adalah menepati maksud al-Qur’an (surah Baraa’ah) dan al-Sunnah.  Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari tentang kelebihan orang menjawab salam dengan kelebihan sepuluh, dua puluh dan tiga puluh kebaikan adalah ‘secara rasmi bahawa ucapan salam adalah satu doa’ yang dikhususkan untuk umat Islam sahaja‘.

2- Surat-surat Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) yang menunjukkan baginda memulakan dengan ucapan ‘salamun antum‘ dan ‘salam ‘alaikum‘, adalah ucapan budaya sesuatu bangsa dan satu penghormatan bagi seorang ketua Kerajaan kepada ketua Kerajaan yang lain.  Ia tidak boleh disabitkan untuk semua tempat.  Namun dengan jelas surat baginda (sallallahu ‘alaihi wasallam)  diakhiri dengan ‘”wa al-salam ‘ala man ittaba’a al-huda” (sejahtera ke atas mereka yang menurut atau mengikut petunjuk Allah (subhanahu wata’ala) ).

Saya telah merujuk kepada sebahagian salinan teks asal surat-surat Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam). Hampir kesemua surat tersebut dimulai dengan lafaz  ‘‘assalamu ‘ala man ‘iitiba al-huda’‘ selepas kalimah basmalah.  Saya juga dapati beberapa kesilapan yang telah dilakukan oleh ustaz Abdul Kadir.  Sebagai contoh, surat kepada Najasi, Raja Habsyah bukannya ‘‘salamun anta’‘ tetapi ‘‘assalamu ‘ala man ‘iitiba al-huda’.  Jika surat-surat Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam)  seperti ini mahu dijadikan hujah ia tetap terbatas kepada lafaz yang sedia ada dan tidak boleh lebih dari itu.

Salam itu adalah satu doa’ dari seorang muslim kepada seorang muslim yang lain. Kenapa harus kita berdoa’ kepada orang yang menentang Allah dan RasulNya, bahkan tidak ada jaminan akan mendapat pahala pun kalau kita menjawab salamnya.  Lafaz ‘salam’ adalah ucapan yang lumrah bagi tradisi bangsa Arab. Namun setelah turunnya ayat larangan berdoa’ kepada bukan Islam, ianya tidak boleh diamalkan lagi. ‘Kita hanya boleh berdoa’ agar mereka mendapat hidayah dan masuk Islam‘.

3- Isu yang seterusnya adalah ucapan salam adalah ucapan kasih sayang, berkasih sayang kepada orang kafir adalah dilarang.  Ustaz Abdul Kadir telah menyebutkan bahawa berkasih sayang yang dilarang di dalam al-Qur’an adalah berkasih sayang bersama orang-orang kafir yang memerangi Islam, bukan kesemua orang kafir.  Beliau merujuk kepada surah al-Mujaadilah ayat 22 dan surah al-Mumtahanah ayat 1.  Ustaz Abdul Kadir juga mengaitkan keharusannya perkahwinanan dengan ahli Kitab menunjukkan kasih sayang dengan orang kafir dibolehkan.

Jawapan:

Berbuat baik kepada orang kafir atau bukan Islam memang dibolehkan seperti mana juga mereka berbuat baik kepada orang Islam.  Secara umumnya, orang Islam juga dibenarkan menabur budi kepada orang bukan Islam, bergaul dengan akhlak yang baik, saling tolong menolong dan seumpamanya sebagai mana yang ditulis oleh ulama tafsir mengenai hubungan pergaulan yang terdiri dari jenis mualat, muadab dan muasat.  Daripada tiga jenis pergaulan tersebut, satu sahaja yang dilarang dan tentunya ustaz dan kumpulan mengetahuinya.

Membuat contoh bahawa kita dibolehkan berkasih sayang kepada orang kafir kerana Islam membenarkan perkahwinan dengan ahli kitab, adalah salah satu salah faham terhadap Islam yang nyata.  Apakah dengan sebab perkahwinan tersebut Islam membenarkan suami isteri saling sayang menyayangi ‘di atas dasar aqidah atau kepercayaan‘ yang dianut oleh pasangan masing-masing?  Daripada ayat surah al-Rum ayat 21, Ustaz Abdul Kadir tidak faham bahawa sebenarnya perasaan kasih sayangnya itu adalah ‘di atas dasar hubungan mesra suami dan isteri‘ bukannya atas dasar aqidah.

Berbuat baik tidak semestinya dengan memberi dan menjawab salam semata-mata. Salam adalah satu doa’ dan bagaimana mungkin seorang muslim mendoakan kesejahteraan, keselamatan dan kesenangan sorang yang kafir?  Apakah terdapat mana-mana bukti daripada hadis-hadis bahawa Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) mendoa’kan kebaikan dan kesejahteraan untuk orang-orang kafir dari kalangan ahli kitab atau musyrikin?

4- Saya juga ingin mengulas dan menjawab tulisan Ustaz Abdul Kadir yang menyebut “dakwaan ayat 86 dari surah al-Nisa merujuk kepada jawapan salam kepada sesama islam sahaja adalah tidak tepat. Ini kerana ada sebahagian ulama lain yang berpendapat sebaliknya. al-Imam Ibn Kathir dan al-Tobari menyebut di dalam kitab tafsir mereka pendapat beberapa ulama salaf (yang ramai) yang berpendapat ayat: “maka balaslah yang lebih baik” itu ditujukan kepada orang Islam, manakala ayat: “atau balaslah seumpama dengannya” itu kepada ahli kitab, dan orang-orang kafir. Bahkan ada riwayat daripada Ibn ‘Abbas yang mengatakan: “Sesiapa yang memberi salam kepada kamu, dari makhluk Allah, maka jawablah kepadanya, walaupun ia seorang majusi.” lalu beliau menyebut ayat 86 surah al-Nisa’ ini.

Jawapan:

Terdapat kenyataan yang cuba disembunyikan dari ‘Kitab Tafsir Ibnu Kathir Jilid Pertama, Cetakan Beirut, Lubnan, mukasurat 293-295‘. Kami mendapati pendapat di atas adalah pendapat yang dipertikaikan.  Di bawah ini saya nyatakan kedudukan sebenar tafsiran tersebut: -

‘An-Nisaa’ [86] dan apabila kamu diberikan penghormatan Dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu Dengan Yang lebih baik daripadanya, atau balaslah Dia (dengan cara Yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.

Al-Imam Ibn Kathir menyebut di dalam kitab tafsir ada riwayat daripada Ibn ‘Abbas yang mengatakan: “Sesiapa yang memberi salam kepada kamu, dari makhluk Allah, maka jawablah kepadanya, walaupun ia seorang majusi.” lalu beliau menyebut ayat 86 surah al-Nisa’ ini. ‘Tetapi malangnya hadis ini tidak menyebut apakah lafaz salam tersebut dan apakah ianya satu doa’?

Kata Qatadah, “maka balaslah yang lebih baik” itu ditujukan kepada orang Islam, manakala ayat: “atau balaslah seumpama dengannya” itu kepada ‘ahli zimmah‘. (dari mana Ustaz Abd Kadir mengambil maksud sebagai ahli kitab dan orang-orang kafir???). Selanjutnya al-Imam Ibn Kathir (rahimahullah) menulis… ‘Takwilan yang dibuat ini (oleh Qatadah) fihi ‘nazrun’ (dipertikaikan)‘. Inilah yang sebenarnya ditulis oleh Ibn Kathir!!

Saya merasa hairan bagaimanakah Ustaz Abdul Kadir hanya mengambil sebahagian sahaja dari tafsiran dan meninggalkan sebahagian yang lain. Saya fikir Ustaz Abd Kadir tidak thiqah dalam menaqalkan ilmu…

‘Menyampaikan Dakwah Islam Adalah Tugas Utama Umat Islam

Setiap orang Islam mempunyai peranan menyampaikan dakwah Islam. Sama ada seseorang itu Mufti atau tidak, kerja-kerja dakwah wajib diteruskan. Para ‘ulama di negara ini dari dahulu hingga sekarang telah melakukan tugas-tugas dakwah mengikut kemampuan mereka masing-masing. Persoalannya, mengapa penceramah dan pensyarah yang seringkali ditonjolkan oleh media dan kerap menulis di media-media cetak sahaja yang dipandang paling banyak berjasa dan bekerja untuk Islam. Bagaimana pula dengan berapa ramai lagi para pendakwah yang di luar sana bertungkus lumus sekian lama menyedarkan umat dari kejahilan?

Golongan seperti mereka ini jarang dikenang bahkan dilempar dengan pelbagai tuduhan semata-mata mereka tidak popular dan tidak dikenali ramai.  Sebahagian daripada mereka telah berdakwah berpuluh-puluh tahun mendidik umat tatkala golongan yang suka mengkritik dan mencemuh mereka masih belum lahir lagi di muka bumi ini.  Semoga Allah (subhanahu wata’ala) merahmati dan memberkati usaha dan perit jerih para pendakwah walaupun mereka dilabelkan sebagai golongan konservatif dan jumud oleh sesetengah manusia. 

‘Syed Noor Muhammad Syed Jamal Al-Mufti
Terengganu.

About these ads
Dikirim dalam Artikel. 3 Comments »

3 Respons to “KONTROVERSI MEMBERI DAN MENJAWAB SALAM BUKAN ISLAM”

  1. ibnuabdullah114 Says:

    assalamualaikum tuan,

    persoalan saya mudah sahaja, bolehkah perkataan assalamualaikum digantikan oleh ‘salam’ sahaja seperti yang banyak digunakan dlm sms, email dimana ianya tidak selari dengan ajaran Nabi saw & jika tidak salah saya ucapan ‘salam’ sahaja digunakan oleh golongan yahudi. perbetulkan pemahaman saya ini & minta penjelasan dari maulana. jazakAllah.

  2. sulaiman Says:

    Waalaikummussalam,

    As-Salaam adalah di antara nama-nama Allah yang Mulia. Malahan, salah satu daripada nama syurga juga merujuk kepada kalimah as-Salam iaitu Darul as-Salam (rumah yang sejahtera).

    Selebihnya saya akan tanya Maulana bila berkesempatan.


Kemusykilan atau pertanyaan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: