Rasulullah s.a.w. bersabda, “Duduk berseorangan lebih baik dari duduk bersama orang yang tidak baik, duduk bersama orang soleh lebih baik dari duduk berseorangan, berkata-kata perkara baik lebih baik dari diam, diam itu lebih baik dari berkata-kata perkara yang tidak baik. (Riwayat Baihaki dari Abi Zar)
Duduk berseorangan atau bersendirian lebih baik dari bercampur atau bergaul dengan mereka yang tidak baik, misalnya bersama dengan mereka yang menceritakan perkara maksiat , keburukan atau mengumpat.
Berkawan atau bersama orang yang baik pula lebih baik dari bersendirian.
Sekiranya mampu berkata-katalah perkara yang baik, jika tidak diam dan berzikir itu lebih baik.
Dalam hadith yang lain pula, Hadis Abu Musa r.a:
Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Sesungguhnya perumpamaan berkawan dengan orang yang soleh dan berkawan dengan orang yang jahat adalah seperti seseorang yang membawa minyak wangi dan seseorang yang meniup dapur tukang besi. Orang yang membawa minyak wangi, mungkin beliau akan memberikannya kepadamu atau mungkin kamu akan membeli darinya dan mungkin kamu akan mendapat bau yang harum darinya. Manakala orang yang meniup dapur tukang besi, mungkin beliau akan membakar pakaianmu dan mungkin kamu akan mendapat bau yang tidak elok.