Harta peninggalan untuk anak-anak

Rasulullah s.a.w. bersabda “Keseksaan atas setiap seksa bagi siapa yang meninggalkan anak-pinaknya dalam kebaikan tetapi dia bertemu dengan tuhannya dalam keburukan” (Riwayat Dailami dari Ibnu Umar).

Keseksaan yang amat besar akan dikenakan kepada orang yang meninggalkan harta yang banyak kepada anak-anaknya tetapi dia sendiri tidak membawa balik hartanya (amalnya) untuk berjumpa dengan Allah. Orang ini lebih mengambil berat tentang harta dunia untuk ditinggalkan dari harta (amal) untuk dibawa pulang bertemu Allah di akhirat nanti.

Buatlah sesuatu amal yang baik atas nama Allah untuk dijadikan harta untuk dibawa pulang menemui Allah dan Allah akan membayar pahalanya. Fikirkan hal kita dahulu, utamakan harta untuk dibawa pulang dari harta yang akan ditinggalkan.

Islam tidak melarang meninggalkan harta kepada anak-anak (asalkan tidak melupakan harta akhirat untuk dibawa pulang) kerana dibimbangi mereka pula akan meminta-minta dari orang lain seperti dalam hadis Saad bin Abu Waqqas r.a katanya:

Pada waktu Haji Wida’ Rasulullah s.a.w menziarahiku ketika aku sedang sakit tenat. Waktu itu aku berkata: Wahai Rasulullah! Lihatlah keadaan aku yang berada dalam keadaan tenat ini sebagaimana yang kamu lihat, sedangkan aku ini seorang hartawan dan hanya seorang anak perempuan sajalah yang akan mewarisi harta saya. Adakah saya boleh mengeluarkan sedekah dua pertiga dari harta saya? Baginda menjawab: Tidak! Aku bertanya lagi: Bagaimana kalau sebahagiannya? Baginda menjawab: Tidak! Tetapi satu pertiga dan satu pertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan papa dan meminta-minta kepada orang lain.

Tinggalkan jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.