HUKUM BERKAITAN KORBAN

Tulisan ini hanya membincangkan beberapa perkara yang sering menjadi perbincangan di kalangan umat Islam berkaitan hukum korban.

Definisi Dan Dalil Korban

Korban bermaksud menyembelih unta, lembu dan kambing dengan tujuan untuk mengabdikan diri kepada Allah (swt).

Dalil mengenai korban terdapat dalam ayat suci al-Quran iaitu;

“Maka dirikanlah solat kerana Rabbmu, dan sembelihlah korban.”

(Surah al-Kauthar: 2)

Hukum Korban

Para ulama berselisih pendapat mengenai hukum korban sama ada ianya wajib atau sunat.

Menurut pandangan jumhur (majoriti) ulama iaitu Maliki, Syafi’i dan Hambali bahawa menyembelih korban pada Hari Raya Aidil Adha adalah sunat muakkad (sunah yang sangat dituntut). Sementara itu, menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Al-Auza’i, Laits dan Ibn Taymiyyah (rh) mengatakan hukum korban adalah wajib ke atas mereka yang berkemampuan. Di bawah ini adalah dalil yang dipegang oleh kedua kumpulan ini.

1.   Di antara dalil yang dipegang oleh jumhur ulama yang mengatakan korban adalah sunat muakkad ialah hadis berikut:-

“Jika masuk sepuluh hari pertama Zulhijjah dan salah seorang dari kamu  mahu berkorban, maka jangan mencukur sedikitpun dari  rambut dan kukunya.” (HR Al-Jamaah kecuali Bukhari)

Dalam hadis ini dikaitkan dengan keinginan/kemahuan dan ia dianggap tidak wajib.  Selain dari itu, terdapat riwayat bahawa Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar (ra) meninggalkan korban dengan sengaja pada sebahagian tahun dan ini menunjukkan ia tidak wajib.

2.   Di antara dalil yang dipegang oleh mazhab Hanafi yang mengatakan korban adalah wajib adalah dari surah al-Kauthar ayat 2 di atas dan hadis berikut:-

Dari Abu Hurairah (ra), Rasulullah (saw) bersabda;

“Sesiapa yang mempunyai kemampuan, lalu ia tidak berkorban, maka  jangan dia menghampiri tempat solat kami. (HR Ahmad dan Ibn Maajah. Hadis ini mauquf yang dihukum marfu’)

Ulama Hanafi mengatakan perintah mengerjakan solat dan menyembelih korban dalam surah al-Kauthar adalah sama status wajibnya. Sementara itu, tegahan yang terdapat dalam hadis di atas menunjukkan korban adalah wajib.

Haiwan Untuk Korban & Pembahagiannya

Asal haiwan untuk korban hendaklah dari haiwan ternak iaitu unta, lembu dan kambing seperti yang telah sabit dari sumber hadis Rasulullah (saw) dan ayat suci al-Quran. Sebahagian ulama membolehkan berkorban dengan kuda belang, lembu hutan dan kijang. Selain dari haiwan ini tidak dibolehkan.

Pembahagian yang telah ditetapkan oleh syariah ialah kambing untuk satu orang dan unta atau lembu untuk tujuh (7) orang yakni tujuh bahagian.

Jenis Korban

Para ulama membahagikan korban kepada 2 jenis iaitu korban wajib dan korban sunat.

1.   Korban Wajib

Terdapat tiga perkara menyebabkan korban menjadi wajib seperti berikut:-

1.             Korban menjadi wajib disebabkan nazar dengan mengatakan “kerana ALLAH wajib ke atas diriku korban seekor kambing” atau “aku jadikan kambing ini sebagai korban” dan seumpamanya.

2.             Korban juga menjadi wajib kepada sesorang yang tidak wajib korban seperti orang fakir dengan cara dia membeli haiwan untuk niat korban. Ini kerana setiap pembelian dengan niat korban dikira melakukan saluran menjadikannya sebagai wajib. Pada ‘uruf perbuatan ini dikira sebagai satu nazar untuk korban.

3.             Korban menjadi wajib bagi orang kaya kerana ia berkemampuan. Ia bukannya disebabkan dua perkara yang di atas.  Kewajipan ini disebabkan orang kaya dituntut melakukannya sebagai tanda kesyukuran atas segala nikmat ALLAH (swt) dan menghidupkan sunah Nabi Ibrahim (as).

2.   Korban Sunat

Korban sunat ialah korban seorang yang musafir atau orang fakir yang tidak bernazar untuk berkorban atau tidak membeli haiwan dengan niat korban.  Ia dikira sebagai sunat kerana tidak mempunyai sebab atau syarat menjadikannya wajib.

Jenis Dan Umur Haiwan Korban

Bagi haiwan unta hendaklah berumur 5 tahun, lembu berumur 2 tahun dan kambing berumur 6 bulan.  Bagi unta dan lembu hanya perlu diambil satu daripada tujuh bahagian. Syarat sah korban hendaklah haiwan korban itu tidak mempunyai kecacatan dan sembelihan korban hendaklah dilaksanakan dalam waktu yang ditentukan.

Waktu Penyembelihan Korban

Waktu penyembelihan bermula dari selepas solat Hari Raya Adha (10 Zulhijjah) sehingga berakhirnya hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) seperti yang diriwayatkan dalam Bukhari, Muslim dan Ahmad.

Hukum Daging Korban

Maksud dan tujuan korban terlaksana dengan mengalirkan darah haiwan tersebut. (Mughni al-Muhtaj).

Jumhur fuqaha mengatakan bahawa korban yang dilakukan secara sukarela (sunat) harus dimakan, tetapi jika ia korban nazar atau wajib melalui pembelian, maka ia haram dimakan. Demikian juga haiwan yang dikongsi seramai tujuh orang dan seorang daripadanya berniat menqadhakan korbannya (korban wajib) yang telah lepas, maka haram dimakan (oleh orang yang bernazar itu sahaja).

Bagi korban nazar yang dikongsi bersama dengan 6 bahagian yang lain. Menurut mazhab as-Syafi’i, seseorang itu tidak boleh makan untuk bahagiannya sahaja. Enam bahagian lain tidak terlibat. Hanya orang yang bernazar sahaja yang tidak boleh makan dagingnya tetapi orang lain disekelilingnya boleh makan termasuk ahli keluargany

Larangan memakan daging korban yang dinazarkan adalah kerana ia telah menjadi sedekah dan seseorang itu tidak boleh makan sedekahnya. Ini adalah secara umum, kerana terdapat perbezaan pandangan berkaitan korban yang dinazarkan.  Berkaitan dengan nazar yang dibuat secara umum di mana seseorang itu bernazar untuk tidak memberikannya secara khusus kepada orang faqir miskin – sama ada secara lisan atau dengan niat – ia dibolehkan dimakan menurut mazhab Maliki dan sebahagian ulama Syafi’i. (Mawsu’ah al-Fiqhiyyah).

Disyariatkan bagi orang yang melakukan korban memakan dagingnya, menghadiahkan (kepada sesiapa yang dikehendaki walaupun orang kaya) dan menyedekahkan kepada fakir miskin. Ini berdasarkan firman Allah (swt) yang maksudnya:

“ ..Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.” (Al-Hajj:28)

“.. Maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta.”(Al-Hajj:36)

Para fuqaha (rh) berbeza pendapat mengenai jumlah yang harus dimakan, dihadiahkan dan disedekahkan.  Perkara ini adalah luas, tetapi cara pembahagian yang terbaik adalah 1/3 dimakan sendiri, 1/3 dihadiahkan dan 1/3 disedeqahkan. Ini adalah pendapat Ibn Masud dan Ibn Umar (ra) yang disebut dalam al-Wazaif. Bahagian yang boleh dimakan boleh disimpan selama yang diinginkan selagi tidak rosak seperti hadis Rasulullah (saw) maksudnya;

“Makan dan simpanlah serta sedekahkanlah (daging korban itu). (HR Muslim)

Kebenaran memakan dan mengagihkan daging korban tidak ada perbezaan di antara korban sunat atau wajib, yang dilakukan bagi pihak orang yang hidup atau meninggal dunia dan dalam melaksanakan wasiat.

Haram hukumnya menjual mana-mana anggota haiwan korban, sama ada dagingnya atau lain-lain bahagian termasuk kulit. Orang yang menyembelih korban tidak boleh mengambil mana-mana bahagian haiwan korban sebagai maksud upah di atas kerjanya kerana ia seumpama menjualnya. Terdapat hadis Nabi (saw) yang melarang hal ini. Jika hendak dibayar upahnya, hendaklah dari sumber dan cara yang lain. Dibolehkan jika seseorang itu memberikan kepada orang yang menyembelih dengan niat sebagai hadiah atau sedekah di atas kemiskinannya.

Sekian. Wallahu’alam.

About these ads
Dikirim dalam Korban. 26 Komen »

26 Respons bagi “HUKUM BERKAITAN KORBAN”

  1. Karim Says:

    Orang yang memberi wang untuk korban boleh makan atau tidak daging korban itu?

    • sulaiman Says:

      Boleh. Caranya begini, satu bahagian daging korban itu dibahagi tiga.
      – 1/3 dari satu bahagian yang dikorbankan boleh diambil untuk makan oleh orang yang melakukan korban.
      – 2/3 dari satu bahagian pula dibahagikan kepada orang lain.

      • Karim Says:

        Tapi knapa ada yang mngatakan daging korban haram dimakan oleh orang yang mmberi wang utk korban tsebut.

      • sulaiman Says:

        Apa dalil mereka?..Nak kata haram kena ada dalilnya.

      • sulaiman Says:

        Haram dimakan oleh pemberi wang itu hanya sekiranya ia adalah korban nazar. Larangan memakan daging korban yang dinazarkan adalah kerana ia telah menjadi sedekah dan seseorang itu tidak boleh makan sedekahnya.
        Selain daripada itu boleh dimakan.

  2. milia Says:

    Assalamualaikum….
    Bagaimana kita hendak menentukan bahawa korban kita itu korban wajib atau sunat.
    Pada thn ini saya berniat untuk membuat korban..adakah ia telah dikira korban wajib? ..Maksudnya saya haram memakan daging tersebut..

    • sulaiman Says:

      Waalaikummussalam,

      Korban hukumnya sunat dalam mazhab Syafie bagi orang berada atau miskin. Wajib dalam mazhab Hanafi bagi orang berada, sunat bagi orang miskin.
      Jika saudari bermazhab Syafie, maka hukumnya sunat.
      Korban yang haram makan oleh orang yang mebuat korban itu ialah korban yang dilakukan atas niat nazar. Larangan memakan daging korban yang dinazarkan adalah kerana ia telah menjadi sedekah dan seseorang itu tidak boleh makan sedekahnya.

  3. Norman mohd nor Says:

    adakah daging korban boleh diberi atau dimakan oleh orang bukan Islam?. Apa pula bezanya dengan daging akikah dalam hal ini. syukran

  4. Roslaily Binti Bakar Says:

    Assalamu’alaikum,
    Apakah hukum sekiranya saya membuat korban untuk diri sendiri dan juga kepada ibu, arwah bapa, anak atau 3 ahli keluarga yang telah meninggal. Sah kah korban itu?.. Dapat pahala korban tak bagi org yang saya namakan seperti di atas?

  5. suraya alias Says:

    asslamualaikum…
    korban sunat/wajib
    2009-sambil lihat tv mengenai ibadah korban sy berkata,sy nak buat korban juga! sy tidak pernah buat ibadah ini jd sekiranya ada rezeki & tiada masalah kebetulan dlm 1/2ini sy diuji berbagai dugaan.. thn 2009 suami operation perut,thn 2010 anak sy accident..sy mahu laksanakan seumur hidup sekali & utk kesejahteraan kami sekeluargaSy juga akan rasa lega tidak ada hutang dgn allah !.insyaalah 2011 sy buat korban tapi itu korban sunat/wajib tak faham….

    • sulaiman Says:

      Waalaikummussalam,
      Secara mudahnya jika saudari bermazhab Syafie, hukum ibadah korban ialah sunat. Mazhab Hanafi pula mewajibkan korban pada mereka yang berkemampuan.

      Selain itu korban itu menjadi wajib sekiranya saudari bernazar, misalnya dengan mengatakan “kalau aku sembuh, aku akan buat korban lembu”

  6. hamidah mohd shah Says:

    assalamualaikum..
    apa pendapat ustaz bg org yang di amanahkan menguruskan daging korban sehinggakan tidak memberikan bahagian kepada tuan yang berkorban?

  7. Hafizah Says:

    Apakah sah orang membuat korban di negeri yang lain. Ibadah ini tidak disaksikan oleh orang yang membuat korban itu.

  8. Lokman hamidi Says:

    Pembelian lembu atas niat korban.

    Saya masih keliru dengan penyataan itu. Kerana setahu saya, orang yang berkorban (individu atau kongsi tujuh orang) perlu beli lembu untuk korban. Di sini sudah ada niat untuk korban. Jadi daging itu masih haram untuk dimakan, betul ke?

  9. abu man Says:

    As salam ustaz. Ustaz ada kata di atas seperti ini ….”Demikian juga haiwan yang dikongsi seramai tujuh orang dan seorang daripadanya berniat menqadhakan korbannya (korban wajib) yang telah lepas, maka haram dimakan.” Saya masih keliru dan harap ustaz tolong jelaskan. Adakah semua peserta korban haram makan keseluruhan lembu tersebut atau cuma individu yg berkorban wajib sahaja yang haram makan bahagian dia [1/7 bahagian sahaja yg haram dimakan]? TQ

    • sulaiman Says:

      Penjelasan:
      Dari Saidina Umar Ibn Khattab, Rasulullah (s.a.w.) bersabda;
      إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
      “Setiap amalan itu dengan niat” (al-Bukhari)
      Menurut mazhab as-Syafi’i hukum asal korban adalah sunnah muakkadah. Hukum korban itu akan berubah menjadi wajib jika sesorang itu berniat nazar. Sebagai contoh jika ia berkata “Aku bernazar untuk korban tahun ini” atau apa-apa sahaja perkataan yang menyebabkan korban itu menjadi wajib ke atas dirinya.
      Tiada istilah mengqadhakan korban bagi korban sunat melainkan ianya korban wajib (kerana nazar).
      Bagi korban nazar yang dikongsi bersama dengan 6 bahagian yang lain. Menurut mazhab as-Syafi’i, seseorang itu tidak boleh makan untuk bahagiannya sahaja. Enam bahagian lain tidak terlibat. Hanya orang yang bernazar sahaja yang tidak boleh makan dagingnya tetapi orang lain disekelilingnya boleh makan termasuk ahli keluarganya.

      Ibn Qudamah (r.h.) berkata:

      وتجزئ البدنة عن سبعة , وكذلك البقرة ، وهذا قول أكثر أهل العلم
      Maksudnya: “boleh seekor unta dibahagikan tujuh bahagian, demikian juga lembu, inilah pandangan kebanyakan ulama..”

      Setelah menyenaraikan hadis-hadis yang membuktikan kenyataan ini, beliau berkata:
      إذا ثبت هذا , فسواء كان المشتركون من أهل بيت , أو لم يكونوا , مفترضين أو متطوعين ، أو كان بعضهم يريد القربة وبعضهم يريد اللحم ; لأن كل إنسان منهم إنما يجزئ عنه نصيبه , فلا تضره نية غيره

      Maksudnya: “Jika telah pasti perkara ini, maka sama ada mereka yang berkongsi itu dari penghuni sesuatu rumah, atau penghuni yang berbeza, melakukan korban wajib atau sunat, atau sebahagian mereka hendak melakukan ibadah dan sebahagian yang lain pula hanya memahukan daging (semua ini dibolehkan), ini kerana setiap individu dari mereka akan memperolehi bahagiannya, tidak memudharatkannya niat orang lain.” (al-Mughni: 13/363)

      Perkara yang sama disebut oleh imam an-Nawawi dalam al-Majmu’.

      Wallahu’alam.

  10. Tanpa Nama Says:

    bagaimana kalu seseorang bernazar utk membuat korban sekeluarga/anak2. tetapi dia hanya bayar bahagian dia sahaja manakala ahli keluarga yg lain niat korban dan bukan nazar. adakah ahli keluarga yg lain boleh makan bahagiannya. atau semua daging tak boleh dimakan kerana seorang dah niat nazar sekeluarga..

  11. mohd farid Says:

    bagaimana kalau seseorang bernazar utk korban sekeluarga/anak2. tetapi hanya membayar bahagiannya sahaja. manakala ahli keluarga yg lain berniat korban sahaja bukan nazar. adakah bahagian daging hanya haram dimakan oleh yg bernazar atau keseluruhan daging haram dimakan oleh ahli keluarga kerana niat seseorang tadi korban utk sekeluarga.. minta penjelasan.. tk ustaz

  12. mimi Says:

    Assalamualaikum ustaz,
    Bolehkah orang yang berkongsi membeli lembu korban kurang daripada 7 orang?


Kemusykilan atau pertanyaan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: