Fadhilat Berpuasa Sunat Hari ‘Ashura

Berpuasa sunat pada hari ‘Ashura iaitu pada 10 Muharram mempunyai kelebihan yang besar di sisi Islam. Rasulullah (saw) sentiasa menunggu hari ini untuk berpuasa kerana ganjarannya sangat besar. Berkata Ibnu Abbas (ra) yang maksudnya;

“Aku tidak pernah melihat Rasulullah (saw) begitu bersungguh untuk memastikan Baginda berpuasa pada mana-mana hari atau memilih hari-hari tertentu kecuali hari ini, yakni hari ‘Ashura dan bulan ini yakni bulan Ramadan.” (HR Bukhari)

Dalil Mengenai Puasa Hari ‘Ashura

Daripada Ibnu Abbas (ra) berkata;

“Apabila Nabi (saw) tiba di Madinah, maka Baginda (saw) melihat orang Yahudi berpuasa ‘Ashura, maka Baginda (saw) bertanya, “Apakah (amalan) ini? Mereka menjawab; “Dia adalah suatu hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan Nabi Musa (as) dan kaum Bani Israel daripada musuh-musuh mereka, maka Nabi Musa (as) pun berpuasa kerananya.  Maka Nabi (saw) pun bersabda; “Aku lebih berhak berbanding kamu terhadap Musa (as).”  Maka Rasulullah (saw) pun berpuasa pada hari itu dan menyuruh umatnya berpuasa sama.” (HR Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Musa al-Asya’ari (ra) berkata;

“Adalah pada hari ‘Ashura, orang-orang Yahudi menyambutnya dengan menjadikannya suatu hari raya. Nabi (saw) bersabda, “Maka hendaklah kamu berpuasa ‘Ashura.” (HR Bukhari dan Muslim)

Pada awal Islam, berpuasa hari ‘Ashura adalah wajib. Selepas tahun kedua hijrah, apabila turun ayat al-Quran yang memfardhukan puasa di bulan Ramadhan, maka Rasulullah (saw) mengisytiharkan berpuasa hari ‘Ashura menjadi sunah.

Daripada Ibnu Umar (ra) berkata;

“Sesungguhnya ‘Ashura adalah satu hari daripada hari-hari Allah, maka sesiapa yang mahu, berpuasalah dan sesiapa yang mahu, bolehlah dia tidak berpuasa.” (HR Ahmad dan Muslim)

Puasa Hari ‘Ashura Sebagai Penebus Dosa

Daripada Abu Qatadah (ra) berkata bahawa Rasulullah (saw) bersabda;

“Berpuasa pada hari ‘Arafah menghapuskan dosa-dosa dua tahun, setahun yang lalu dan setahun akan datang, manakala puasa ‘Ashura menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.” (HR Jama’ah, Bukhari dan at-Tirmizi)

Para ulama menyatakan bahawa dosa-dosa yang dihapuskan adalah dosa-dosa kecil kerana dosa-dosa besar memerlukan taubat.

Imam Nawawi (rh) berkata, “Sekiranya seseorang itu melakukan sesuatu (amalan) yang boleh menghapuskan dosa kecil, maka ia akan terampun.  Jika tidak terdapat dosa kecil atau besar, maka ia dicatat sebagai amalan yang baik dan ditingkatkan martabatnya.  Jika terdapat dosa besar dan tiada dosa kecil, kami berharap puasa itu mengurangkan dosa besarnya.” (Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab)

Kebanyakan manusia suka meremehkan dosa-dosa kecil sama ada dilakukan secara sedar ataupun tidak.  Maksud tidak sedar dalam melakukan dosa kecil ialah kerana kelalaian atau tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan bahawa perbuatan itu adalah suatu dosa. Cuba bayangkan berapa banyak dosa kecil yang kita lakukan setiap hari dari pagi hinggalah ke malam.  Semoga dengan adanya amalan berpuasa seperti puasa hari ‘Ashura ini, dosa-dosa kita akan diampunkan oleh Allah (swt).

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Sahl bin Sa’d yang bermaksud: “Berhati-hatilah kamu terhadap dosa kecil (dosa yang diremehkan), dosa yang sering dilakukan oleh seseorang pasti akan memusnahkannya (akan menjadi dosa besar).” (HR Musnad Ahmad)

Perbezaan Puasa Di antara Muslim dan Ahli Kitab

Dalam sahih Muslim terdapat satu riwayat bahawa para Sahabat (ra) berkata kepada Rasulullah (saw) mengenai hari ‘Ashura yang disambut oleh kaum Yahudi dan Kristian. Lalu Rasulullah (saw) bersabda, “InsyaAllah, apabila tiba tahun hadapan, kami  akan berpuasa pada hari kesembilan (bagi membezakan dengan cara puasa ahli kitab).”

Ibnu Abbas (ra) berkata, “Maka sebelum tiba tahun itu, Rasulullah (saw) telah wafat lebih awal.” (HR Muslim)

Menurut Hafiz Ibnu Qayyim (rh) terdapat tiga cara untuk berpuasa hari ‘Ashura iaitu:-

1.         Berpuasa tiga hari iaitu pada 9, 10 dan 11 Muharram, atau

2.         Berpuasa 9 dan 10 Muharram, atau

3.         Berpuasa pada 10 Muharram sahaja.

Maklumat Tambahan

Pada hari ‘Ashura juga, orang-orang Makkah biasanya akan menukar kain yang menutupi ka’bah (kiswah).  Orang-orang Quraish kebiasannya akan berpuasa pada hari ini.  (HR Bukhari)

Berpuasa pada hari ‘Ashura bukannya bertujuan memperingati kesyahidan cucunda Rasulullah (saw) iaitu Sayyidina Hussin (ra) seperti yang dilakukan oleh golongan Syiah.

Hari ‘Ashura bagi orang Syiah dengan berkumpul beramai-ramai dan mengadakan majlis keramaian memperingati pembunuhan Sayyidina Husin (ra) yang syahid di Karbala. Mereka akan mencederakan diri dengan memukul badan, dada dan kepala sehinga berdarah sambil mengucapkan puji-pujian dan berdoa di atas kematian Sayyidina Hussin (ra).  Perbuatan orang-orang Syiah ini amat bertentangan dengan iktikad Ahlus Sunnah Wal Jamaah kerana mereka telah melakukan perbuatan bid’ah dan melampaui petunjuk agama.

Wallahu a’lam.

About these ads
Dikirim dalam Fadhilat, Puasa. 4 Comments »

4 Respons to “Fadhilat Berpuasa Sunat Hari ‘Ashura”

  1. Fadhilat Berpuasa Sunat Hari ‘Ashura « Blog History Education Says:

    […] dari http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/12/12/fadhilat-berpuasa-sunat-hari-%E2%80%98ashura/ […]

  2. abidin Says:

    Apakah benar perlu ada wudhu untuk memegang atau membaca Al Quran?

    • sulaiman Says:

      1) Dari segi hukum, orang Islam boleh membaca quran semasa berhadas kecil tetapi tidak dibenarkan menyentuh atau memegang quran bila berhadas kecil atau besar.

      2) Apabila berhadas kecil, kita boleh memegang kitab tafsir atau kitab terjemahan al-quran namun tidak boleh menyentuh huruf-huruf atau kalimahnya dengan tangan. Gunakanlah alat seperti lidi atau penunjuk jika perlu menyentuhnya.

      3) Ketika berhadas besar, tidak boleh membaca Quran, tetapi jika ada keperluan, niatlah untuk zikir atau jika menjadi guru quran, bacalah sepatah-sepatah misalnya Alhamdu, kemudian lillahi kemudian rabbil kemudian alamin.

  3. Jamal Says:

    Apakah kebaikan puasa ashura


Kemusykilan atau pertanyaan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: