Mengubah Niat Ketika Dalam Solat

Persoalan seperti ini kadang kala timbul dalam fikiran kita iaitu adakah kita boleh mengubah atau menukar niat ketika dalam solat?

Penulisan berikut adalah terjemahan yang dibuat berdasarkan soal jawab yang dipetik dari laman web islamonline.net (yang kini dikenali onislam.net) di bawah tajuk ‘changing one’s intention during prayer’. Ia merupakan satu penjelasan yang baik dan mudah untuk difahami. Terjemahannya seperti berikut:-

Jantung hati adalah tempat bagi niat yang memandu tindakan seseorang insan. Oleh itu, seseorang muslim dikehendaki sentiasa berhati-hati dengan niat dan hatinya. Rasulullah (saw) bersabda, “Sesungguhnya, amalan itu dengan niat.” (HR Bukhari). Dalam hadis yang lain, Rasulullah (saw) dilaporkan bersabda, “Sesungguhnya, ALLAH tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu.” (HR Muslim)

Oleh yang demikian, para fuqaha Islam memberi perhatian yang banyak terhadap peranan niat dan membahaskannya dengan meluas berkaitan pertimbangan syariah dalam menentukan sah atau batal, betul atau salah, halal atau haram ke atas tindakan dan urusan seseorang itu.

Sehubungan dengan soalan di atas, kami menukilkan pandangan Sheikh Muhammad Ibn Soleh Al-Uthaimin (rh) seperti berikut:-

Jika mengubah niat bermaksud mengubah dari sesuatu yang spesifik (khusus) kepada sesuatu spesifik yang lain atau sesuatu yang umum kepada sesuatu yang spesifik, hal ini tidak dibolehkan. Tetapi, jika seseorang mengubah niatnya dari sesuatu yang spesifik kepada sesuatu yang umum, maka ia tiada salahnya (dibolehkan).

Solat yang spesifik (khusus) kepada solat spesifik yang lain

Contoh bagi mengubah dari sesuatu yang spesifik (khusus) kepada sesuatu spesifik yang lain ialah apabila seseorang itu hendak mengubah niat solat sunat Dhuha kepada solat sunat qabliah (sebelum) Subuh yang mana ia tertinggal dan mahu menqadhakannya. Seseorang itu bertakbir dengan niat melakukan dua rakaat solat sunat Dhuha, kemudian dia teringat bahawa dia belum melakukan solat sunat Subuh, lalu dia mahu mengubah niatnya kepada solat sunat Subuh. Hal ini tidak sah (tidak dibolehkan) kerana solat sunat Subuh terdiri dari dua rakaat yang spesifik yang mana ia sepatutnya berniat dari awal solatnya.

Satu lagi contoh ialah apabila seseorang itu mula bersolat fardhu ‘Asar, tetapi ketika sedang solat dia teringat bahawa dia belum melakukan solat fardhu Zuhur, lalu dia berniat menjadikannya solat Zuhur.  Hal ini juga tidak sah (tidak dibolehkan) kerana niat bagi solat yang spesifik mestilah dilakukan dari awal.

Solat yang umum kepada solat yang spesifik

Berkaitan dengan mengubah niat dari sesuatu yang umum kepada sesuatu yang spesifik pula ialah jika seseorang mula bersolat dengan niat solat sunat yang umum (solat sunat mutlak), kemudian dia teringat bahawa dia belum solat fardhu Subuh atau solat sunat qabliah Subuh, lalu dia mengubah niatnya kepada solat fardhu atau sunat Subuh – hal seperti ini juga tidak sah (tidak dibolehkan).

Solat yang spesifik kepada solat yang umum

Mengubah niat dari sesuatu yang spesifik kepada sesuatu yang umum, seperti jika seseorang mula bersolat dengan niat solat sunat Subuh, lalu ketika sedang solat dia teringat bahawa dia telah pun melakukannya, dalam hal ini dia boleh mengubah niat asalnya kepada solat sunat yang biasa (mutlak).

Satu lagi contoh ialah seseorang yang mula mendirikan solat yang wajib/fardhu secara sendirian, kemudian satu kumpulan (jema’ah) hadir untuk solat, dan dia mahu mengubah  solat wajibnya kepada solat sunat mutlak (umum), maka dia boleh memendekkan solat itu selepas sahaja melakukan dua rakaat, kemudian melakukan solat wajib bersama dengan jema’ah tersebut. Hal ini dibenarkan kerana dia mengubah niat dari sesuatu yang spesifik kepada sesuatu yang umum.

Oleh itu, pada prinsipnya: Mengubah niat dari sesuatu yang spesifik kepada sesuatu spesifik yang lain adalah tidak dibolehkan, mengubah dari sesuatu yang umum kepada sesuatu spesifik juga tidak dibolehkan dan mengubahnya dari sesuatu yang spesifik kepada sesuatu yang umum adalah dibolehkan.

Wallahu a’lam bis sawab.

Advertisements
Dikirim dalam Feqah. 4 Comments »

4 Respons to “Mengubah Niat Ketika Dalam Solat”

  1. Tanpa Nama Says:

    Bagaimana pula jika mengubah niat solat sendirian kepada menjadi imam solat?


Kemusykilan atau pertanyaan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: