Ramadhan Ditangisi Syawal Dirai

Tangisilah pemergian tetamu mulia bernama Ramadhan yang akan pergi meninggalkan kita disaat kita cuba untuk rapat dengannya serta mencuba pula untuk mendapatkan hadiah Lailatul Qadar sebelum ia berlalu pergi. Tetamu ini juga datang membawa bersamanya rahmat, keampunan dan kelepasan daripada api neraka. Adalah sia-sia  puasa yang tidak mendapat rahmat, tidak mendapat keampunan dan tidak mendapat kelepasan daripada api neraka.

Ramadhan juga adalah bulan yang panas, yang didatangkan untuk membakar nafsu dan nilai-nilai buruk yang ada pada manusia, setelah diterapkan oleh syaitan selama 11 bulan sebelumnya. Nilailah amalan kita sebelum ini, dan perkasakan ibadah puasa disaat akhir ini agar kita dapat kembali kepada fitrah yang asal apabila menjelangnya 1 Syawal.

Selamat Kembali Pada Fitrah Yang Asal

Hari raya Aidil Fitri ialah satu hari kebesaran. Orang Islam yang berpuasa akan kembali kepada fitrah (keadaan)nya yang asal iaitu dalam keadaan yang tidak berdosa (suci) setelah mendapat keampunan daripada Allah s.w.t. apabila menjelangnya pagi 1 Syawal, sekiranya disiplin puasa dijaga dengan sebaik-baiknya dan zakat fitrah dibayar sebelum bersembahyang hari raya. Rasulullah s.a.w. bersabda “Siallah(rugilah) puasa orang yang tidak mendapat keampunan ”. 

Syarat bagi mendapatkan keampunan ini ialah, dengan menjaga pantang larang puasa. Selain itu, hendaklah (wajib) membayar zakat fitrah, iaitu suatu zakat peribadi bagi menampung nilai / mutu puasa yang terkurang akibat daripada perlanggaran mana-mana pantang larang (accident) puasa, yang mungkin berlaku semasa berpuasa. Kita perlu ikhlas dalam membayar zakat fitrah, kerana ia dapat memperbaiki kedudukan puasa kita. Zakat fitrah  itu juga memberi kekuatan kepada ibadah puasa untuk naik ke langit seterusnya dipersembahkan kepada Allah s.w.t.

Hadis diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas r.a. ada menyebut; “Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang berpuasa dari perkara sia-sia dan ucapan-ucapan kotor dan juga sebagai makanan kepada fakir miskin” (Riwayat Imam Abu Daud , Ibnu Majah dan al-Hakim)

Kita perlu membayar zakat fitrah sebelum melaksanakan sembahyang hari raya, selain daripada menjadi kewajipan, zakat fitrah yang telah dijelaskan itu akan menampung sebarang kekurangan yang ada pada ibadah puasa kita. Sekiranya zakat fitrah dilakukan selepas sembahyang hari raya, maka tidaklah dinamakan zakat fitrah, ia hanya menjadi sedekah biasa, dan amalan puasa itu tergantung di langit dan tidak dipersembahkan kepada Allah s.w.t.

Dari Ibn Abbas r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang maqbul dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah-sedekah sunat yang lain (Riwayat Abu Daud).

Daripada Jabir r.a., beliau berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda : “ Puasa sebulan Ramadhan tergantung antara langit dan bumi ; dan tidak akan terangkat dari tempat itu , kecuali dengan zakat fitrah .”( Riwayat Abu Hafsh bin Syahin)

Zakat merupakan hubungan sesama manusia.  Maka itu Allah s.w.t. gembira apabila melihat orang yang kaya membantu orang yang miskin. Zakat fitrah afdhal dilakukan pada pagi hari raya untuk diberikan kepada orang miskin supaya mereka dapat sama bergembira menyambut hari raya, tetapi untuk mengelakkan kesesakan, zakat fitrah boleh dibayar lebih awal.

Setelah mendapat keampunan daripada Allah s.w.t pada 1 Syawal, kita melaksanakan sembahyang hari raya. Dari segi hukum, sembahyang hari raya adalah sunat bagi 3 mazhab (Syafie, Maliki dan Hanbali) dan ia adalah wajib bagi mazhab Hanafi (kerana Rasulullah s.w.t tidak pernah meninggalkannya).

Walapun dosa kepada Allah sudah diampunkan, tetapi dosa yang ada sesama manusia  masih belum suci/terampun. Justeru itu, kita hendaklah bersihkannya dengan memohon kemaafan daripada manusia kerana dosa sesama manusia hanya boleh dimaafkan oleh manusia. Jika kita tidak mohon kemaafan di sini (dunia) kita akan bankrap atau muflis di sana (akhirat).

Selain itu cantikkan (hiasi) hari raya dengan bertakbir (membesarkan Allah).

Baqarah [185]…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur. 

Bagi hari raya Aidil Fitri, kita boleh bertakbir selama 1 hari iaitu 5 waktu sembahyang mulai selepas Maghrib dimalam hari raya, diikuti Isya’, Subuh, Zohor dan berakhir selepas waktu Asar. Hukum takbir raya selepas sembahyang berjemaah ialah sunat bagi mazhab Syafie tetapi wajib bagi mazhab Hanafi.

Bersyukurlah kita kepada Allah yang “As-Syakur” kerana membalas dan memberi pahala ibadah puasa kepada kita dengan pahala yang sangat besar nilainya, kerana puasa adalah suatu ibadah yang tersembunyi (tiada pengecaman terhadap orang yang berpuasa semata-mata untuknya).

Selain dari itu, orang yang berpuasa dengan cukup syarat-syaratnya juga mendapat kelepasan daripada api neraka. Hari raya yang sebenar dan yang paling besar ialah kejayaan memasuki syurga. Dalam hadith disebut “Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya. Orang berpuasa akan bergembira bila bertemu dengan Allah, kerana di dunia dahulu mereka telah berlapar dengan ikhlas semata-mata kerana Allah. Orang berpuasa diberi kebebasan masuk ke syurga melalui mana-mana pintu, walaupun ada satu pintu yang khas untuk orang berpuasa yang dikenali sebagai Ar-Rayyan.

Dikirim dalam Puasa, Ramadhan. 2 Comments »

2 Respons to “Ramadhan Ditangisi Syawal Dirai”

  1. easy Says:

    Maha Suci Allah

  2. Wanie Says:

    Puasa adalah stu ibadat wjb yg mempuyai bnyk fadilatnya.puasa bkn shj menahan lpr dn dhga tp puasa jg menahan dri drpd melakukan perkara2 negatif.dgn berpuasa kita akan menjadi manusia yg lbh prihatin,meningkatkan keimanan serta dpt memperbaiki amalan kita


Kemusykilan atau pertanyaan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: