Wahai Taa Haa

Taa Haa : (1) Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. (2) Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah (3) (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. 

Ulama berbeza pendapat tentang maksud huruf-huruf singkatan seperti Taa-Haa, Alim Lam Mim. Ada ulama berpendapat Taa-Haa adalah satu daripada 99 nama sifat Rasulullah s.a.w. sepertimana nama Yaa-Sin.

Nama tubuh badan Baginda s.a.w pula adalah 2; iaitu Muhammad dan Ahmad.

As-Saff [6] : Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Mariam berkata: Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama: Ahmad

Perkataan Taa-Haa dalam ayat ini seolah-olah Allah s.w.t memanggil Nabi Muhammad “Wahai Taa-Haa”, Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. (2).

Ayat quran ini diturunkan untuk menolak dakwaan kaum Quraisy yang mengatakan bahawa turunnya Quran itu adalah menyusahkan Nabi Muhammad s.a.w., kerana Baginda sembahyang Tahajjud hingga tidak tidur malam dan sehingga bengkak-bengkak kakinya, apatah lagi pada peringkat awalnya (dahulu) Baginda akan membaca ayat-ayat yang panjang dalam sembahyang Tahajjudnya, sehinggalah turun ayat:

Muzammil [20] : Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam dan selama satu perduanya dan selama satu pertiganya dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Dia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Dia menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang)….

Sebenarnya Nabi Muhammad s.a.w. mengerjakan solah tahajud di waktu malam (dalam masa yang panjang) adalah untuk melahirkan rasa syukurnya Baginda kepada Allah Subhanahuwata’ala. Apabila Aisyah r.a. bertanya kepada baginda mengapa melakukan perbuatan itu padahal Allah Subhanahuwata’ala telah mengampuni dosa baginda yang telah lalu dan akan datang, maka Baginda menjawab: “Tidak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur?

Al-Quran Diturunkan Sebagai Peringatan Kepada Mereka Yang Takut

Al-Quran diturunkan bukanlah untuk menyusahkan sebaliknya  “Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah (Taa-Haa:3)”. Nabi Muhammad s.a.w. juga ditugaskan untuk memberi amaran kepada orang Islam yang terdidik yang takutkan Allah s.w.t:

Ya-Sin [11] : Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa dia tidak dilihat orang dan semasa dia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita yang menggembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.

An-Naziat [42] : Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: Bilakah masa datangnya? Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu?[44] Kepada Tuhanmu lah terserah kesudahan ilmu mengenainya. [45] Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu.

Berilah peringatan kepada mereka yang takutkan Allah Subhanahuwata’ala supaya mereka terus dalam keimanan dan Islam. Dakwah dan nasihat mesti diteruskan walaupun orang itu sudah menjadi ahli masjid agar mereka kekal menjadi ahli masjid.

Mengekalkan orang Islam dalam Islam dan beramal ibadat adalah satu jihad.

Beri amaran kepada orang yang takutkan Allah s.w.t. supaya mereka lebih takut dan kekal dalam Islam. Mengekalkan orang Islam dalam Islam adalah satu jihad dan ia lebih besar dari memasukkan orang bukan Islam ke dalam Islam (walaupun memasukkan bukan Islam ke dalam Islam ini besar kelebihannya)

(Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. (Taa-Haa:4)

Al-Quran diturunkan dari Loh Mahfuz ke Langit dunia (Baitul Izzah) sewaktu dekat dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Taa Haa adalah kalimah dan percakapan Allah daripada huruf perkataan Arab dan bukanlah rekaan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda Mulia adalah merupakan seorang nabi yang ummi, baginda mengembala kambing sejak kecil dan tidak pernah memasukki mana-mana maktab untuk belajar.

A’raff [158] ….Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya) dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk.

Kisah Sayyidina Umar Dan Surah Taa-Haa

Sebelum memeluk Islam, Sayyidina Umar amat marah apabila mengetahui adik dan suaminya telah memeluk Agama Islam lalu menuju ke rumah mereka. Beliau mendengar mereka membaca Al-Quran lalu berkata: “Baiklah, tunjukkan kepada aku helaian yang kamu baca tadi!”

Tetapi Fatimah berkeras tidak mahu menyerahkan helaian-helaian yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran kerana akan diapa-apakan oleh Umar. Ini menyebabkan Umar terpaksa bersumpah: “Demi Latta dan Uzza, aku tidak akan buat sesuatu yang tidak baik terhadap apa yang kamu baca sebentar tadi!”

Apabila Fatimah melihat Umar semakin lembut, dia pun akhirnya terpaksa berterus terang kepada abangnya itu: “Wahai saudaraku, helaian ini merupakan kata-kata Allah Subhanahuwata’ala. Oleh kerana engkau bukan kalangan dari orang Islam malah seorang yang masih syirik sedangkan syirik itu merupakan najis, maka bersihkanlah dirimu terlebih dahulu. “Kalau benar engkau hendak membacanya maka hendaklah kamu mandi terlebih dahulu kemudian barulah engkau boleh membacanya.” Oleh kerana Umar begitu tertarik untuk membaca apa yang telah dibacakan oleh adiknya itu, lalu Umar menuruti sahaja permintaan adiknya itu. Beliau segera mandi membersihkan diri dan bersiap sedia untuk membaca surah-surah al-Quran itu.

Umar yang tidak lagi menunjukkan sikap untuk terus berseteru kemudian diberikan satu helaian yang mengandungi sebahagian dari surah al-Taha. Iaitu ayat 14 yang bermaksud: Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingatiku. Sejurus membaca ayat itu, Umar pun berkata: “Tidak sepatutnya yang empunya kata-kata ini disekutui. Alangkah indah dan mulianya kata-kata ini.”

Advertisements

Kemusykilan atau pertanyaan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: