Satu Kisah Tentang Dajjal

Ada sebuah riwayat Imam Muslim yang diterima daripada Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya telah mendengar muazzin Rasulullah s.a.w memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah s.a.w. Selesai solat, Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda berkata: “Jangan ada yang bergerak.

Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya.” Kemudian berkata: “Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?” Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”
Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Demi Allah aku menyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal.
Kisah yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya. Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan duburnya.
Mereka bertanya kepada binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?” Binatang itu menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah (mata-mata).”
Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah?” Binatang itu hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu.
Di sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya: “Siapakah anda?” Orang seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah mendengar cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya: “Siapa kamu ini?”
Mereka menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini.
“Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.”
Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya.” Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan:
“Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu,” (nama tempat di negeri Syam). Mereka menjawab:
“Keadaan apanya yang tuan maksudkan?” Orang besar itu menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?”
Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: “Aku takut pokok itu tidak berbuah.”
Orang besar itu bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah.” Mereka menjawab: “Tentang apanya yang tuan maksudkan?” Lelaki itu menjawab: “Maksudku airnya apakah masih ada.” Mereka menjawab: “Airnya tidak susut.” Lelaki itu berkata: “Air sungai itu disangsikan akan kering.”
Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: “Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?” Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah.” Lelaki itu bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?” Mereka menjawab: “Ya, dia diperangi oleh orang-orang Arab.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa Rasulullah s.a.w telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.
Orang besar itu berkata lagi: “Memang begitulah, padahal mereka beruntung jika taat kepadanya.” Kata orang besar itu lagi: “Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya.”
Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah s.a.w menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: “Inilah negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?” Mereka menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah.” Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan saya lagi.
Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur,” kata Rasulullah s.a.w sambil menunjuk ke arah timur.
Rasulullah s.a.w telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa Dajjal akan datang dari Khurasan atau Asfahan. Wallahu a’lam

10 Respons to “Satu Kisah Tentang Dajjal”

  1. salah lorong Says:

    Assalamualaikum, wallahuhalam semoga kita terselamat dari fitnah dajjal

  2. saifulzam Says:

    anda percaya ke tentang dajal?apakah rupa dia secara fizikal?macam rupa mahkluk asing @ manusia?mana dalilnya ? surah apa? ayat keberapa?…persoalan ini timbul akibat tentang dajjal ..apakah sebenarnya yang dimaksudkan dajjal sebenarnya ? sesuatu cerita yg benar biasanya mesti terbukti kebenaranya..ada didepan kita yang dapat di lihat dengan nyata tanpa ragu..kalau cerita itu tidak disertakan bukti kewujudanya sebenarnya bererti boleh jadi ia mitos @ diada-adakan..

    • sulaiman Says:

      Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tabrani, yang maksudnya: “Tidak akan berlaku saat qiamat melainkan setelah timbul tiga puluh pendusta yang diakhiri oleh Dajal yang matanya buta sebelah

      Dari Huzaifah bin Asid al-Ghifari r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. telah menjenguk kepada kami semasa kami sedang ingat mengingati satu sama lain, lalu Baginda s.a.w. bertanya: “Apa yang kamu ingat mengingatkan itu?” Kami menjawab: “Kami mengingati perihal hari qiamat dan saat berlakunya”; Nabi s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya saat qiamat tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelumnya sepuluh alamat.” Lalu Baginda s.a.w., menyebut alamat atau tanda-tanda itu iaitu: Asap, Dajal (1) Dabbatul-Ardh, terbit matahari dari pihak masuknya (dan pihak barat) turunnya Nabi Isa anak Mariam dan Ya’juj wa Ma’juj.(Riwayat Muslim)

      Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila seseorang kamu selesai dari membaca tasyahhud (iaitu tahiyyat akhir), maka mintalah perlindungan dengan Allah dari empat; dari azab neraka jahannam, dari azab kubur, dari fitnah hidup dan mati dan dari kejahatan fitnah (ujian) Dajjal”. (Riwayat Imam Muslim)

      Rasulullah s.a.w. bersabda “Isa bin Maryam akan turun (pada akhir zaman ) dengan membenarkan syariat aku (Nabi Muhammad saw), baginda akan membunuh Dajjal. Dan sesungguhnya turunnya baginda adalah menjadi tanda dekatnya hari Qiamat. (Riwayat Imam Ahmad)

      Dari al-Nawwas bin Sam’an r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. menyebut perihal Dajal serta menyatakan sebenarnya Dajal itu seorang muda yang rambutnya kerinting, biji matanya timbul (buta sebelah); Sebenarnya ia akan keluar di satu tempat di antara negeri Syam dengan negeri Iraq, serta ia akan melakukan kerosakan di serata tempat yang ia sampai kepadanya (dengan menjadikan kampung orang yang menerima dakwaannya sebagai Tuhan mewah makmur, dan kampung orang yang enggan menerima dakwaannya – susah meleset dan dengan menunjukkan kepandaian sihirnya dengan menjadikan tempat yang terbiar dan tanah yang kering kontang mengeluarkan khazanah buminya dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau subur; juga menjadikan orang muda yang kuat gagah dibelah dua badannya sepotong dicampakkan jauh dari yang satu lagi, kemudian diserunya lalu kedua potongan badan itu bersatu dan orang muda itu pun hidup semula dengan tersenyum-senyum seolah-olah tidak ada sesuatu yang menimpanya; demikian juga mana-mana yang menyembahnya dimasukkan ke dalam Syurganya – yang dirasai oleh orang itu sebagai Neraka, sebaliknya orang yang enggan menyembahnya dimasukkan ke dalam Nerakanya yang dirasai oleh orang itu sebagai Syurga; dan lain lagi).”

      Nabi s.a.w., bersabda lagi: “Wahai sekalian hamba Allah setelah kamu mengetahui demikian maka tetapkanlah iman kamu, jangan terpengaruh kepada dakwaannya!” Kami bertanya: “Ya Rasulullah berapa lama ia bermaharajalela di bumi?” Baginda s.a.w., menjawab: “Empat puluh hari,- hari yang pertama: Panjangnya seperti setahun dan hari yang kedua: Panjangnya seperti sebulan dan hari yang ketiga seperti seminggu, manakala hari-hari yang lain: seperti hari-hari kamu yang biasa. ” Kami bertanya lagi: “Ya Rasulullah, jika demikian hari yang panjangnya seperti setahun itu misalnya cukupkah kami mengerjakan padanya sembahyang untuk sehari?” Baginda s.a.w., menjawab: “Tidak, tetapi kirakanlah masa untuk mengerjakan sembahyang itu sekadar masa yang biasa kamu lakukan,”Baginda menerangkan lagi:”Semasa Dajal itu bermaharajalela Allah hantar turun Nabi Isa anak Mariam lalu ia turun berhampiran dengan menara putih yang letaknya di timur bandar Damsyik maka Nabi Isa pun mengejar Dajal sehingga dapat menawannya dipintu kariah yang bernama: Lud”, lalu membunuhnya. Setelah itu datanglah suatu kaum yang Allah selamatkan dari bencana Dajal itu menghadap Nabi Isa a.s., lalu Nabi Isa hapuskan kesan kedukaan dan kesedihan dari air muka mereka dengan menyatakan: Bahawa Dajal telah pun dibunuh, serta menggembirakan mereka dengan darjat-darjat kedudukan mereka dalam Syurga;

  3. Ahmad Says:

    Sy musykil dengan sumber hadis yg dikatakan drp sahih Muslim. Sy dah semak dalam kitab Sahih Muslim sy, sy tak jumpa satu hadis pon yg cerita tentang Tamim ad Dari. Adakah ini hadis reka-rekaan yg kemudian dinisbahkan kepada sahih Muslim yg penyampai sendiri tidak pernah membuka sahih Muslim?? Ada berapa jenis Sahih Muslim sebenarnya?? Harap dapat jawab dengan segera agr tidak menyebarkan hadis-hadis palsu….

  4. Ahmad Says:

    lg satu sy nak tanya, kalau saudara ada jumpa sumber hadisnya, sila sebutkan hadis tersebut bilangan ke berapa, di dalam jilid-jilid sahih Muslim yg standard

  5. rafi aufari fahmi Says:

    sungguh mulia kota mekka dan madinah

  6. Bila Sungai Itu Kering Maka Dajjal Akan Muncul. Says:

    Semoga Kta Selamat Dunia Akhirat

  7. trisna Says:

    menjadi terasa lebih dekat dengan Allah..:)


Kemusykilan atau pertanyaan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: