Latihan Berjemaah dan Iktikaf Di Masjid Dalam Ramadan

Masjid atau surau yang dilakukan solah berjemaah 5 waktu adalah rumah-rumah Allah di bumi ini. Allah akan memuliakan mereka yang mengunjunginya. Maksimakanlah gandaan pahala di bulan Ramadan ini dengan solat berjemaah di masjid dan teruskanlah ia di luar bulan Ramadan. Amalkanlah adab dan sunnah-sunnah ketika masuk masjid. Berulang-alik ke masjid pula adalah tanda keimanan bagi lelaki dan dinaungi dari kepanasan Padang Mahsyar. Solah berjemaah di masjid bagi lelaki adalah sunnatul huda (sunnah yang mendatangkan petunjuk). Niatlah iktikaf (berhenti) di dalam masjid bagi mendapat pahala iktikaf dan iktikaflah  pada 10 akhir Ramadan.

Daripada Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah s.a.w. bersabda ”Sesungguhnya rumah-rumah Allah di bumi ini adalah masjid-masjid, dan sesungguhnya hak (wajib) atas Allah untuk memuliakan orang yang menziarahinya di masjid-masjid.” (Riwayat Thabrani).

Adab Masuk Masjid

1) Masuk dengan kaki kanan, keluar dengan kaki kiri

2) Membaca doa ketika masuk masjid juga berdoa ketika keluar masjid.

“Apabila kamu semua masuk ke dalam masjid, maka katalah;“Wahai Tuhanku, bukakanlah untukku pintu-pintu rahmat-Mu.”. Apabila keluar, maka katakanlah;“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku meminta kepada-Mu daripada kelebihan-kelebihan-Mu.” (Muslim)

3) Melakukan 2 rakaat sembahyang sunat tahiyyatul masjid sebelum duduk atau membaca apa-apa zikir dan terus duduk sekiranya ada pengajian sedang dijalankan.

“Apabila seseorang daripada kamu masuk ke dalam masjid, janganlah duduk sehingga dia bersolah sebanyak dua rakaat“.( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4) Memakai pakaian yang cantik-cantik dan berhias untuk ke masjid.

A’raf [31] : Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah swt tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.

Sunnatul huda (sunnah petunjuk).

“Dari Ibnu Mas’ud Radhiallaahu anhu, ia berkata, “Sesungguhnya Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Salam mengajari kami sunnah-sunnah (jalan-jalan petunjuk dan kebenaran) dan di antara sunnah-sunnah tersebut adalah sembahyang di masjid yang dikumandangkan azan di dalamnya.” (HR. Muslim)

Ulang Alik ke Masjid Tanda Iman

Rasulullah s.a.w. bersabda, Apabila kamu melihat lelaki yang melazimkan berulang-alik ke masjid, maka Islamlah dia (ada iman dalam hatinya). Riwayat dari Abi Sa’id Al-Khudri, bila kamu melihat lelaki beribadah di masjid, maka berimanlah dia kerana firman Allah:

At-Taubah [18] Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang

Ulang Alik ke Masjid Dinaungi Dari Kepanasan 

Daripada Abu Hurairah, r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya:”Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naunganNya pada hari qiamat, hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya: Pemerintah yang adil; Pemuda yang hidupnya asyik dalam -mengerjakan ibadat kepada Tuhannya; Orang yang hatinya -sentiasa terikat dengan masjid;

Iktikaf

Di antara amal-amal baik bagi memakmurkan masjid ialah beriktikaf di dalamnya. Beriktikaf di masjid ertinya berhenti atau duduk di masjid dalam suatu masa yang tertentu untuk mengerjakan amal bakti kepada Allah Subhanahu Wata’ala

Masa beriktikaf itu hendaklah diisi, sekurang-kurangnya dengan tahlil (zikir Lailaha illallah), beristighfar atau berselawat atas Nabi s.a.w. Amalan-amalan seperti ini boleh menghapuskan dosa-dosa kita dengan Allah.

Niat iktikaf “aku berhenti (atau duduk) dalam masjid kerana Allah taala

Amalan beriktikaf juga diterangkan di dalam Al-Quran;

Dan ingatlah ketika kami jadikan Baitullah ( Kaabah ) sebagai tempat manusia berulang alik ( tempat berziarah ) dengan aman dan sentosa. Sebab itu ambillah ( jadikanlah ) olehmu akan makam nabi Ibrahim itu sebagai tempat sembahyang. Dan kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan ismail supaya kedua-duanya membersihkan rumahku ( kaabah ) untuk orang-orang yang tawaf dan untuk orang-orang yang iktikaf, juga untuk orang-orang yang ruku dan sujud ( surah Al-Baqarah : 125 )

Iktikaf yang paling utama ialah dalam bulan Ramadhan semasa melakukan ibadah puasa: Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. biasanya beriktikaf pada 10 hari yang akhir dari bulan Ramadhan sehingga diwafatkan oleh Allah azawajalla, kemudian ( amalan iktikaf itu ) diteruskan oleh isteri-isteri baginda sesudah itu.

Banyakkan Langkah

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sukakah kamu semua kalau saya tunjukkan akan sesuatu amalan yang dapat melebur semua kesalahan dapat menaikkan beberapa darjat?” Para sahabat menjawab: “Baiklah, ya Rasulullah.” Beliau s.a.w. lalu bersabda: “Iaitu menyempurnakan wudhu’ sekalipun menemui beberapa hal yang tidak disenangi (seperti terlampau dingin dan sebagainya), banyaknya melangkahkan kaki untuk ke masjid dan menantikan solat sesudah melakukan solat. Itulah yang dapat disebut ribath, itulah yang disebut ribath” (Riwayat Muslim). 

Ribath bermaksud menjaga atau(mengikat diri dengan sempadan ketaatan kepada Allah. Dalam hadith yang lain pula ia bermaksud menjaga sempadan negeri:

Daripada Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ada dua jenismata yang tidak akan disentuh oleh neraka, yaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang pada malam hari menjaga sempadan negeri dalam melakukan peperangan fi-sabilillah.” (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi)

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: Sesiapa yang bersuci di rumahnya (berwudhu’), kemudian ia pergi ke salah sebuah rumah dari rumah-rumah Allah, untuk mengerjakan sembahyang fardhu, nescaya setiap langkahnya itu: yang satu menggugurkan dosanya, dan yang satu lagi menaikkan darjatnya setingkat lagi” (Hadith sahih – riwayat Muslim)

Daripada Jabir r.a. lagi, katanya: “Bani Salimah – salah satu kabilah kaum Anshar yang terkenal radhiallahu ‘anhum – bermaksud hendak berpindah tempat di dekat masjid. Berita itu sampai kepada Rasulullah s.a.w., kemudian beliau s.a.w. bersabda kepada Bani Salimah itu: “Sesungguhnya saja telah sampai berita kepadaku bahawa engkau semua ingin berpindah ke tempat di dekat masjid?” Mereka menjawab: “Benar, ya Rasulullah, kita berkehendak sedemikian itu.” Beliau s.a.w. bersabda lagi: “Wahai Bani Salimah, tetaplah di rumah-rumahmu itu saja, akan dicatatlah langkah-langkahmu itu – pahala melangkahkan kaki dari rumah ke masjid itu pasti dicatat sebanyak yang dijalankan. Jadi tidak perlu berpindah ke dekat masjid. Tetaplah di rumah-rumahmu itu saja, akan dicatatlah langkah-langkahmu itu.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, lebih afdhal jika berjalan kaki ke masjid. Lebih jauh berjalan kaki lebih banyak pahalanya. Walaupun menaiki kenderaan, “parking” lah kereta atau motor jauh sedikit untuk dapat pahala berjalan itu. Lagipun berjalan kaki juga baik untuk kesihatan.

Daripada Abu Musa As-Syaari r.a. katanya Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang lebih besar pahala dalam mengerjakan sembahyang ialah yang lebih jauh, serta lebih jauh lagi perjalanan (Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Muslim”

Kemusykilan atau pertanyaan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: