Ciri-Ciri Orang Yang Berjaya

  • Menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji).. 
  • Menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya
  • Menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) 
  • Bertakwa kepada Allah
  • Mencari jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya);
  • Berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam)
  • Khusyuk dalam sembahyangnya.
  • Menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.
  • Membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu).
  • Menjaga kehormatannya.
  • Menjaga amanah dan janjinya.
  • Memelihara sembahyangnya.   

Orang Yang Berdakwah

Ali Imran [104] Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Berdakwah iaitu menyeru atau nasihat menasihati kepada perkara kebaikan dan melarang daripada melakukan keburukan samada di tempat sendiri atau keluar negeri atau negara.

Orang Yang Suka Bersedekah dan Membersihkan Hartanya

dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka. (Sajadah:16) Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan. (Sajadah:17)

….Mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (Al-Hashr:9)

Zakat hanya dapat dikeluarkan oleh orang yang takut kepada Allah.

Al-Lail [17] Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab Neraka) itu daripada orang yang sungguh bertakwa; [18] Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya

Orang Yang Bertakwa, Mencari Jalan Untuk Mendampingi Allah dan Berjuang Pada Jalan Allah

Maidah [35] Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.

Dalam satu hadith, “Takwa (takut) itu kepala ketaatan”. Bila takut pada Allah kita akan buat baik dan patuh (suruhan dan larangannya). Takut pada Allah diberi dua syurga:

Ar-Rahman [46] Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga.

Carilah jalan iaitu “wasilah”, perantaraan untuk sampai kepada Allah. Dalam hadith lebih kurang maksudnya “Seseorang itu mendapat kejayaan dunia dengan wasilah, seseorang itu juga mendapat kejayaan akhirat juga melalui wasilah”. Wasilah yang dimaksudkan ialah “ilmu” dan “didikan (tarbiyah)”, samada secara zahir(syariat) atau batin (tarikat). Tarikat juga asalnya dari Nabi s.a.w. yang diajar kepada para sahabat, untuk segera dapat kedudukan dan kejayaan disisi Allah. 

Berjuang pada jalan Allah (Jihad) samada secara berperang atau apa sahaja untuk menguatkan agama Allah

Orang Yang Menjaga Kehormatan (Nafsunya)

Dan mereka yang menjaga kehormatannya. (Mukminun:5) Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. (Mukminun:6) Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. (Mukminun:7)

Berjayalah orang yang membersihkan diri dari nafsu buruk dan rugilah orang yang mengikut nafsu buruknya:.

As-Syams [9] Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),

As-Syams [10] Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Orang Yang Khusyuk Dalam Solatnya. 

Al-Mukminnun [1] Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. [2] Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.[9]

Kata Imam Ghazali khusyu ialah roh sembahyang. Kata Sayyidina Ali khusyuk ialah ingatkan Allah. Khusyuk sebenarnya melebihi dari mengingati Allah, ia termasuk merendahkan diri kepada Allah.Yang bertaraf wajib dalam sembahyang ialah mengingati Allah (kalau terlalai cepat-cepat ingatkan Allah)

Orang Yang Menjaga Solatnya.

Orang yang menjaga sembahyang walaupun hati mereka tidak khusyuk tetap akan dimasukkan ke dalam syurga.

Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. (Mukminun:9) Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. (Mukminun:10) Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya. (Mukminun:11)

Orang Yang Amanah dan Menepati Janji.

Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. (Mukminun:8)

Ada dua jenis janji iaitu janji bertulis dan janji secara mulut atau lisan. Kedua-duanya akan ditanya dihari kiamat. 

Rasulullah saw bersabda: “Jaminlah untukku enam perkara, aku jamin syurga untukmu, iaitu: bercakap benarlah bila kamu berbicara, tepatilah janji bila kamu berjanji, sampaikanlah apabila kamu diberi amanah, jagalah kemaluanmu tahanlah pandangan matamu, dan tahanlah tanganmu.”(Hadith Riwayat Imam Ahmad,Ibnu Hibban, Baihaqi)

Orang Yang Menjauhi Perkara Yang Sia-Sia dan Melalaikan

Tinggalkan majlis yang dipenuhi gelak ketawa, lawak jenaka, nyanyian dan gurauan kerana syarat untuk masuk ke syurga ialah menjauhkan dari perkara yang lagha (melalaikan).

Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya. (Furqan:72)

Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;(Mukminun:3)…Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. (Mukminun:10) Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya. (Mukminun:11)

Kemusykilan atau pertanyaan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: