Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api Neraka, kekallah dia di dalamnya dan baginya azab seksa yang amat menghina. (Nisa:14)
……dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) dari azab yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak). (Ibrahim: 2)
Neraka Untuk Orang Kafir dan juga Orang Islam yang Hidup Secara Kafir
Neraka sebenarnya disediakan untuk orang-orang kafir.
Ali-Imran [131] : Dan peliharalah diri kamu dari api Neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.
Timbul persoalan, mengapa ada orang Islam yang masuk neraka. Ulama mengatakan bahawa orang Islam yang masuk neraka adalah mereka yang hidup seperti orang kafir. Perangai dan perbuatan mereka menyamai perbuatan orang kafir seperti tidak bersembahyang, meminum arak dan sebagainya. Selain dari itu, mereka lebih mengutamakan dan menyayangi dunia berbanding akhirat.
Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah swt, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya. (Ibrahim: 3)
Orang Islam yang dimasukkan ke neraka adalah untuk dibersihkan diri mereka dari dosa yang telah mereka lakukan semasa hidup didunia dulu. Mereka di azab dengan kulit badan mereka tidak diganti.
Berbanding dengan orang kafir, mereka dimasukkan ke neraka adalah untuk dihina. Kulit badan mereka sentiasa diganti, apabila telah diazab, kulit diganti semula seperti sediakala kemudian diazab lagi begitulah seterusnya.
An-Nisaa [56] : Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api Neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana
Tidak Ada Kematian di Neraka
Orang yang masuk ke dalam neraka itu tidak hidup dan tidak mati, bak kata pepatah seperti “hidup segan mati tak mahu“.
Al-A’la[13] : Selain dari itu, dia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup senang.
Furqan [13] : Dan apabila mereka dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam Neraka itu, dengan keadaan mereka dibelenggu, menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan (bagi melepaskan dari azab itu).
Mereka meminta kebinasaan (dimatikan semula) kerana tidak tahan dengan seksaan azab neraka itu.
Furqan [14] : (Lalu dikatakan kepada mereka): Janganlah kamu menjerit-jerit meminta pada hari ini sejenis kebinasaan sahaja, tetapi mintalah kebinasaan sebanyak-banyaknya (kerana azab yang menunggu kamu di sini banyak jenisnya).
Minuman Ahli Neraka
Minuman mereka adalah air panas, tembaga cair, danau, air danau iaitu darah bercampur nanah, air dari kemaluan perempuan berzina yang mati tidak bertaubat.
Muhammad [15]…..orang-orang yang tinggal kekal di dalam Neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur?….
Al-Kahfi [29] …dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu dan amatlah buruknya Neraka sebagai tempat bersenang-senang.
Ibrahim [16] Di belakangnya disediakan Neraka Jahanam dan dia akan diberi minum dari air danur (yang keluar dari tubuh ahli Neraka).
Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang mati dalam keadaan tidak berhenti minum arak, nescaya Allah ta’ala akan memberinya minum air sungai Ghuthah. Iaitu sungai di neraka yang bersumber dari kemaluan para pelacur (wanita-wanita penzina).”(Hadith riwayat Imam Ahmad)
Tiada Jalan Keluar Bagi Orang Kafir
Apabila orang kafir naik ke lapisan atas dan hendak keluar dari neraka, mereka dicampak kembali oleh malaikat ke dalamnya:
Al-Hajj [22] : Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari Neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: Rasalah kamu azab seksa yang membakar!
Bekas Ahli Neraka
Orang Islam yang telah dibersihkan dari dosa dan setelah selesai menerima azab neraka, mereka akan dikeluarkan umpama bekas banduan. Mereka dipakaikan kalung atau di dahi mereka tertulis dengan perkataan “bekas ahli neraka”.
Daripada Anas bin Malik r.a, dari nabi s.a.w Baginda bersabda:” Keluar satu kaum dari neraka sedangkan kulit mereka telah hitam kerananya. Mereka masuk ke dalam syurga, sedangkan isi syurga menamakan mereka ‘orang-orang dari jahannam’ (Bukhari). “:
…..Lalu mereka keluar bagaikan mutiara. Di leher mereka ada kalung, sehingga para ahli syurga dapat mengenali mereka. Mereka adalah orang-orang yang dibebaskan Allah, yang dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga, tanpa amal yang mereka kerjakan dan tanpa kebaikan yang mereka lakukan.
Namun di syurga Allah swt memenuhi apa saja permintaan ahlinya, lalu mereka meminta agar dipadamkan tanda “bekas ahli neraka” itu.
Oleh itu berjaga-jagalah kita agar tidak dimurkai Allah. Apabila Allah swt murka, maka nerakalah tempatnya.
Aku telah menciptakan neraka bagi mereka yang telah menderhaka kepada-Ku (wa khalq-tu al-Nara li-man ‘asa-ni), tidak mengikuti para rasul-Ku, dan Aku tidak peduli
Semoga Allah s.w.t. melindungi mereka yang ingin lari daripada azab api neraka.
Sabda Rasulullah s.a.w. “Peliharalah dirimu daripada api neraka, walaupun dengan hanya bersedeqah sebiji buah tamar” (Riwayat Muslim).
Kemusykilan atau pertanyaan