Kelebihan Sembahyang Berjemaah Di Masjid

Masuk Syurga Tanpa Hisab.

Ada 3 golongan yang sembahyang berjemaah di masjid yang dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab:

Golongan pertama ialah orang yang ketika azan berbunyi dia sudah berada di dalam masjid (menunggu azan di masjid).

Golongan kedua ialah orang yang berada dalam perjalanan ke masjid ketika azan dikumandangkan.

Golongan ketiga pula ialah orang yang bergegas keluar dari rumahnya setelah mendengar azan menuju ke masjid tempat azan dikumandangkan

Terima suratan amal dengan tangan kanan

Semasa bersembahyang di dunia ini manusia akan mengangkat tangannya dan bertakbir. Di hari kiamat pula, tangan-tangan manusia akan terangkat untuk menerima suratan amal (kitab catitan amalan) yang datang sendiri dari Arasy dengan kuasa Allah terus kepada tangan-tangan mereka.

Suratan amal itu ada yang diberi ke tangan kanan tuannya dan ada yang diberi ke tangan kirinya. Orang yang diberikan suratan amalnya ke tangan kanannya merasa besar hati dan berbangga dengan yang demikian sehingga ia menyeru orang-orang lain supaya membacanya;

Haqqah [19] Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka dia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!

Israa [71] (Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita) dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun.

11 Respons to “Kelebihan Sembahyang Berjemaah Di Masjid”

  1. mohdkamil Says:

    Majoriti orang Melayu Malaysia berpegang pendapat “solat berjamaah sekadar fardhu kifayah sahaja” Jika sudah ada 2 atau 3 orang solat berjamaah dalam kampung mereka maka itu sudah memadai dan mereka semua terlepas dari dosa..
    Sedangkan banyak hadis nabi yang mencela dan memberi amaran orang-orang yang meninggalkan solat berjamaah di masjid/surau. Dan Rasulullah sendiri tidak pernah meninggalkan solat fardhu berjamaah di masjid sepanjang hidupnya kecuali solat sunat dan semasa baginda sakit..
    Satu golongan lagi berpendapat solat berjamaah dengan anak isteri di rumah juga adalah berjamaah, sedangkan rumah mereka berada di depan masjid dan mendengar dengan jelas azan 5 waktu..
    APA KOMEN USTAZ..

    • sulaiman Says:

      Dalam mazhab Syafie hukum sembahyang berjemaah adalah Fardu Kifayah, wajib ke atas semua lelaki yang mampu, namun apabila ada sekumpulan yang melakukankannya, gugurlah kewajipan itu. Ini bersandarkan hadis:

      Tidak ada tiga orang (lelaki) dalam sesebuah kampung atau sesebuah desa yang tidak mengerjakan sembahyang berjemaah, melainkan mereka (mudah) dikuasai oleh syaitan (dengan menjadikan mereka mencuaikan perintah syara’); oleh itu hendaklah engkau sentiasa menyatukan diri dengan jemaah (kerana dengan itulah sahaja engkau akan selamat dari angkara syaitan) (Riwayat Imam Ahmad).

      Dalam mazhab Hambali, hukum sembahyang berjemaah ialah Fardu Ain berdasarkan hadis:

      Sabda Rasulullah s.a.w.: Seberat-berat sembahyang atas para muniafiqin ialah sembahyang Isyak dan sembahyang subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalam dua sembahyang berkenaan, tentulah mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak. Demi Allah, sesungguhnya mahu sahaja aku memerintahkan orang mendirikan sembahyang berjamaah bersama para hadirin, kemudian aku pergi dengan beberapa yang membawa kayu api kepada orang yang tidak menghadirinya, lalu aku bakar rumah-rumah mereka, sedangkan mereka berada di dalamnya. (HR Bukhari & Muslim dari Abu Hurairah)

      Namun hadis ini telah dibatalkan setelah Baginda mendapati ramai sahabat yang tercicir dari sembahyang berjemaah.

      Mazhab Hanafi dan Maliki pula berpendapat hukum sembahyang jemaah ialah Sunat Muakkad berdasarkan hadis yang mengatakan sembahyang jemaah itu sunnatul huda (sunnah petunjuk).

      “Dari Ibnu Mas’ud Radhiallaahu anhu, ia berkata, “Sesungguhnya Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Salam mengajari kami sunnah-sunnah (jalan-jalan petunjuk dan kebenaran) dan di antara sunnah-sunnah tersebut adalah sembahyang di masjid yang dikumandangkan azan di dalamnya.” (HR. Muslim)

      Bagi perempuan lebih afdhal sembahyang di rumah. Dibolehkan berjemaah di masjid untuk keperluan menuntut ilmu.

      • arabiyy Says:

        Itu jumhur mazhab Shafi’iyyah, sdgkan Imam Shafiei sedniri, Ibn Khuzaimah, dan Ibn Hibban dr Shafiyyah mengatakan wajib @ fardu ain kecuali krn uzur
        dlm al-Umm al-Imam menyatakan kewajian jamaah sebnayak 3 kali, di 3 tempat

  2. Melur Bakar Says:

    Salam ustad, saya pernah mendengar ceramah mengatakan orang yang pergi ke masjid pada waktu subuh dia akan mendapat cahaya banyak masa meniti alsirat nanti. Tapi orang perempuan adalah lebih afdal solat kat rumah tapi saya ibu tunggal kalu saya solat kat rumah saya tak dapat pahala banyak. Org perempuan lain ada suami jadi dia dapat pahala lebih dari saya ibu tunggal. So tolong nasihatkan saya terima kasih

    • sulaiman Says:

      Perempuan tidak perlu ke masjid kecuali untuk menuntut ilmu. Afdhal bagi perempuan sembahyang di rumah dan pahalanya sama seperti lelaki yang sembahyang di masjid. Lebih afhal bagi perempuan sembahyang di dalam bilik yang sepi dan tersembunyi.

      Rasulullah s.a.w. bersabda “Seorang wanita bersolat di dalam rumahnya lebih baik dari dia bersolat di halamannya, dan solat di dalam bilik kecil lebih baik dari bersolat dirumahnya” [Hadith Riwayat Abu Daud]

      Perempuan yang ada suami akan mendapat separuh pahala suaminya yang sembahyang di masjid. Dari segi ini mereka lebih berbanding ibu tunggal. Tetapi mereka juga perlu memastikan mereka melayan suami dengan baik dan mentaatinya kerana jika tidak mereka pula mendapat dosa.

  3. MD SHAHARIZAN ABLLAH Says:

    ADAKAH BERJEMAAH BERSAMA ISTERI DI RUMAH DIBERIKAN GANJARAN YANG LEBIH BERBANDING SOLAT SENDIRIAN JIKA TIDAK SEMPAT BERJEMAAH DI MASJID?KAMI KADANG2 TERLAMBAT BANGUN UNTUK KE MASJID TAPI MASIH DALAM WAKTU SUBUH.

    • sulaiman Says:

      Ya betul. Masih dapat pahala berjemaah (dengan isteri), cuma tidak dapat pahala gandaan sembahyang di masjid.
      Kata Tuan Guru, isteri itu adalah makmum yang berdaftar bagi seorang suami. Kalau bermusafir, bawalah isteri bersama untuk jadi makmum solat jemaah sepertimana dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

  4. talibramli Says:

    40 Hadith Mengenai Fadhilat Dan Kepentingan Salat

    Ada banyak hadith-hadith Rasullulah SAW yang memerintahkan agar salat dikerjakan serta ia menerangkan pula fadhilat-fadhilatnya. Dibawah ini diringkaskan beberapa hadith yang diperolehi manfaatnya:
    1. Salat adalah setinggi-tinggi perintah yang diperintahkan oleh Allah swt dan salat pula adalah setinggi-tinggi perkara yang akan disoal pada hari hisab.
    2. Takutilah Allah dalam perkara salat! Takutilah Allah dalam perkara salat! Takutilah Allah dalam perkara salat!
    3. Salat satu-satunya perkara yang membezakan antara iman dan syirik.
    4. Salat itu menandakan Islam. Salat yang ikhlas dan khusyuk apabila masuk waktunya dan memberati segala rukun-rukunnya yang mustahab pastilah ia seorang mukmin.
    5. Dari segala sesuatu yang diperintahkan oleh Allah swt. Iman dan salat adalah yang amat ternilai. Andaikata ada yang lebih baik daripada salat maka Allah akan memerintahkannya untuk para Malaikat yang sesetengahnya sentiasa dalam keadaan rukuk dan sesetengahnya sentiasa dalam keadaan sujud.
    6. Salat itu tiang agama.
    7. Salat itu menghina syaitan.
    8. Salat itu Nur bagi orang Mukmin.
    9. Salat itu jihad yang terulung.
    10. Selagi mana Mukmin itu salat Allah swt sentiasa bermurah hati terhadapnya.
    11. Apabila berlaku sesuatu bencana turun dari langit, maka terselamatlah orang-orang yang selalu pergi ke masjid untuk menunaikan salat berjemaah.
    12. Bahagian-bahagian badan yang menempuhi bumi didalam salat akan menyelamatkannya daripada dibakar oleh api neraka sekiranya dosa-dosa besar seorang muslim itu mencampakkannya ke dalam api neraka.
    13. Api neraka diharamkan keatas bahagian-bahagian badan orang yang telah menempuhi tanah dengan perasaan hina.
    14. Dari segala amalan, salat yang dikerjakan pada waktu-waktu yang telah ditetapkan adalah amat dicintai oleh Allah swt.
    15. Allah swt paling suka perawakan seseorang apabila dia dalam sujud, dahinya mengenai tanah dengan perasaan hina.
    16. Seseorang yang berkeadaan sujud adalah yang paling hampir dengan Allah swt.
    17. Salat itu anak kunci ke syurga.
    18. Apabila seseorang itu berdiri untuk solat, pintu-pintu syurga dibuka dan segala tabir antara dirinya dengan Allah SWT disingkap (asalkan ia tidak merosakkan salatnya dengan melakukan sesuatu yang makruh)
    19. Seseorang yang bersolat ibarat mengetuk pintu rumah Allah dan pintu itu sentiasa terbuka untuk orang yang mengetuknya.
    20. Kepala pada badan adalah perumpamaan kepada tempatnya salat dalam Islam.
    21. Salat itu Nur hati. Sesiapa yang mahukannya hendaklah ia menyuluh hatinya dengan bersolat.
    22. Wudhuk yang sempurna, salat yang khusyuk dua atau empat rakaat salat fardhu atau nafil / sunat dan berdoa kehadrat ilahi maka akan diampuni dosa-dosanya oleh Allah swt .
    23. Mana-mana bumi yang diatasnya mengingati Allah SWT merasa bangga dari bumi-bumi yang lain.
    24. Allah SWT menerima doa hambaNya setelah solat 2 rakaat. Allah SWT mengkabuli apa yang dipohonnya kadang-kadang dengan segera atau terlambat sedikit untuk kepentingannya.
    25. Seseorang yang bersolat 2 rakaat tanpa dilihat sesiapa kecuali Allah SWT dan malaikatNya tidak akan disentuh oleh api neraka.
    26. Doa itu dimakbulkan oleh Allah SWT setelah seseorang itu selesai menunaikan solat fardhunya.
    27. Seseorang yang wudhuk dengan sempurna, solat dengan khusyuk dengan tertib rukun-rukunnya akan memperolehi syurga dan diharamkan baginya neraka.
    28. Syaitan takut akan seseorang yang memberati solatnya tetapi sekiranya ia mengabaikanya maka syaitan akan menguasainya dan berharap akan berjaya menyesatinya.
    29. Salat pada awal waktunya adalah amalan yang paling afdhal.
    30. Salat itu persembahan orang-orang saleh.
    31. Salat pada awal waktunya adalah amalan yang disukai oleh Allah SWT
    32. Diwaktu fajar sesetengah orang menuju ke masjid dan sesetengah orang menuju ke pasar. Mereka yang menuju ke masjid adalah pembawa bendera Iman dan mereka yang menuju ke pasar membawa bendera syaitan.
    33. 4 rakaat sebelum solat zuhur sama pahalanya dengan 4 rakaat solat tahajjud.
    34. 4 rakaat sebelum solat zuhur dikira pahalanya sama dengan 4 rakaat solat Tahajjud.
    35. Allah swt sentiasa mencucuri rahmatNya keatas hambaNya yang bersolat.
    36. Salat sepertiga malam amatlah dihargai tetapi amat sedikit bilangan orang yang mengamalkannya.
    37. Jibrail datang kepada Nabi Muhammad seraya berkata, “Ya Muhammad! Berapa lama pun yang kamu hidup kamu akan mati jua akhirnya pada suatu hari nanti dan kamu mungkin mencintai sesiapa sahaja yang akan kamu berpisah dengannya pada suatu hari nanti. Sesungguhnya kamu akan terima balasan atas apa yang kamu lakukan baik atau jahat. Tidak suak, kebesaran seseorang muslim itu adalah Tahajjudnya dan kemuliaannya adalah dalam keredhaannya dan kesabarannya.
    38. Salat 2 rakaat sepertiga malam adalah lebih berharga daripada segala kekayaan di dunia ini. Kalau tidak kerana aku takut ia menyusahkan para umatku, akan kuwajibkannya.
    39. Teruskanlah salat Tahajjud itu kerana ia adalah perjalanan orang-orang saleh dan cara mendekati Allah SWT. Salat Tahajjud menjauhkan dosa, menyebabkan dosa terampun dan menyihatkan kesihatan badan.
    40. Allah SWT berfirman “Hai anak adam! Janganlah malas mengerjakan 4 rakaat Isyraq kerana Aku akan memurahkan rezekimu dalam usaha-usahamu pada keseluruhan hari itu”

    Empat puluh buah hadith yang dipendekkan itu telah diberikan agar ia dapat dihafal dan pahala mengetahui sebilangan hadith-hadith itu dapat dicapai.
    Sebenarnya salat itu anugerah terbesar malah ia disedari oleh mereka yang telah mengecapi nikmatnya. Itulah sebabnya Rasulullah SAW menyebutnya sebagai ‘ penyejuk mataku’ dan baginda menghabiskan sebahagian besar dari malam harinya berdiri menghadap Allah SWT kerana sebab yang serupalah maka Rasulullah SAW yang kita cintai itu pada akhir hayatnya pun memerintahkan kita agar memberati salat.

    Sumber Asli FADZILAT SALAT oleh RAISUL MUHADDITSIN ALLAMA MOHAMMAD ZAKARIYYA SYEIKHUL HADITS Mazahir Ulum Saharanpur

  5. Norani bt. Bapoo Says:

    Assalamualaikum,bagaimana bagi wanita yang bersolat terawih dimasjid dan yang berterawih dirumah?bagaimana hokum dan pahalanya? mohon ustaz beri penjelasan terima kasih.

    • sulaiman Says:

      Waalaikummussalam..
      Wanita lebih afdhal solat di rumah berdasarkan sebuah hadith.
      Namun dibolehkan solat masjid sekiranya ingin mengikuti kelas agama atau kurang bersemangat solat di rumah.


Kemusykilan atau pertanyaan