Nikmat Berhari Raya Di Syurga

Hari raya yang sebenar bagi orang Islam ialah kejayaan memasuki syurga, dan nikmat syurga yang paling hebat ialah kenikmatan memandang Allah s.w.t. As-Saffat [60] : Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar.Terdapat pelbagai nikmat syurga, seperti nikmat makanan dan minuman serta nikmat-nikmat lain yang tidak dapat diceritakan secara terperinci. Walaupun diceritakan,  tidak akan sampai/mampu akal kita untuk memikirkannya. Untuk mengetahui nikmat syurga yang sebenar ini, kita perlulah berusaha untuk masuk syurga terlebih dahulu, barulah boleh merasa nikmat syurga tersebut.  Begitu juga sebagai misalan dalam dunia ini, hanya orang yang seronok sahaja yang tahu keseronokan yang dialaminya.

As-Saffat [61] : Untuk memperolehi (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia).

Perkataan “Jannah” (syurga) adalah terhasil dari huruf Jim dan Nun, apabila dua huruf ini bertemu, ia membawa maksud sesuatu yang tersembunyi. Syurga ialah sesuatu yang tidak nampak dipandang dengan mata.

As Sajdah [17] : Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:Daripada Nabi saw., Baginda bersabda: Allah berfirman: Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terlintas dalam hati manusia. 

Ahli syurga diberikan apa saja yang dikehendaki sepertimana firman Allah “wa lahum fii masytahat anfusuhum khooliduun”.

Anbiya [102] : …. mereka akan kekal selama-lamanya didalam (nikmat-nikmat Syurga) yang diingini oleh jiwa mereka.

Nikmat Makanan Dan Minuman..

At-Tur [22] : Dan (penduduk syurga itu) Kami tambahi mereka (dari semasa ke semasa), dengan buah-buahan dan daging dari berbagai jenis yang mereka ingini. Pohon di syurga boleh melentur bagi memudahkan ahlinya makan:

Al-Insan [14] : Sedang naungan pohon-pohon Syurga itu dekat kepada mereka dan buah-buahannya pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan semudah-mudahnya.

As-Saffat [45] : Diedarkan kepada mereka piala yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. {46] Minuman itu putih bersih, lagi lazat rasanya, bagi orang-orang yang meminumnya.{47 Ia tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan dan tidak pula mereka mabuk kerana menikmatinya.

Nikmat Yang Paling Besar Ialah Nikmat Melihat Allah s.w.t.

Diriwayatkan oleh sahabat Shuhaib r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :”Apabila penghuni syurga telah masuk ke dalam syurga, Allah s.w.t. bertitah, “Mahu kamu sekiranya aku tambahkan sesuatu ?  Mereka menjawab “’Bukankah Engkau telah jadikan wajah-wajah kami bersinar, bukankah Engkau telah masukkan kami ke dalam syurga dan Engkau selamatkan kami daripada neraka?’.  Lalu Allah membuka tabir yang menghalangi mereka daripada Allah s.w.t, maka tiadalah mereka diberi suatu kenikmatan yang lebih mereka sukai dan nikmati daripada memandang pada Tuhan mereka Yang Maha Agung dan Luhur. (Shahih Bukhari)

Seperti yang dijelaskan di dalam Al-Quran, banyak muka akan melihat Allah semasa mereka berada di dalam syurga.

Qiyamah [22] : Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; [23] : Melihat kepada Tuhannya.

Dalam satu riwayat diceritakan, pada satu hari semasa ahli syurga sedang asyik menjamah hidangan, Allah s.w.t menjelma dan semua ahli syurga berhenti daripada makan kerana terpegun melihat Allah. Nikmat melihat Allah ternyata lebih hebat daripada nikmat makanan dan minuman yang terdapat di dalam syurga.

Dikirim dalam Syurga. 1 Comment »

Satu Respons to “Nikmat Berhari Raya Di Syurga”


Kemusykilan atau pertanyaan