Prioriti Dalam Berbuat Kebaikan

An-Nisaa [36] : ..dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan”. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya). (Baqarah: 215)

Dahulukan ahli kaum keluarga yang miskin dalam memberi bantuan kewangan seperti memberi zakat atau sedekah kerana merekalah yang paling hampir dengan kita. Merekalah yang lebih berhak dalam menerima bantuan. Kaum kerabat ini termasuklah adik beradik kita, juga adik beradik sebelah bapa atau ibu kita. Disamping zakat yang dibayar kepada pusat zakat, berikanlah sebahagian zakat itu kepada ahli keluarga atau kerabat terdekat.

An-Nahli [90] Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan ihsan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta penderhakaan. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.

Buat baik Pada Ibubapa

Israa [23] …dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

Jiran

Rasulullah s.a.w. selalu dipesan oleh malaikat Jibril supaya berbuat baik kepada jiran. Dalam sebuah hadis sahih; diriwayatkan daripada Aisyah r.a. Baginda Mulia telah bersabda: “Jibril sentiasa berpesan kepadaku tentang jiran, sehingga aku menyangka Jibril akan menjadikan jiran itu sebagai waris (kepada jirannya).” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Tirmizi).

At-Tabrani meriwayatkan daripada Jabir r.a. daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda; “Jiran itu 3 golongan:

1) Jiran dengan 1 hak, iaitu jiran yang musyrik. Dia hanya ada hak kejiranan.

2) Jiran dengan 2 hak iaitu jiran yang beragama Islam. Dia ada hak kejiranan dan ada hak Islam.

3) Jiran dengan 3 hak iaitu jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Dia ada hak kejiranan, ada hak Islam dan ada hak hubungan kekeluargaan.”

Anak Yatim.

Anak yatim iaitu anak yang kematian bapanya sebelum dia baligh.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang berbuat baik kepada anak yatim, lelaki atau perempuan adalah aku dan dia di syurga seperti dua jari ini” (telunjuk dan tengah) (Riwayat Hakim dari Anas).

Memberi makan kepada anak yatim adalah diantara amal yang tinggi darjatnya disisi Allah Subhanahuwata’ala:

Al-Balad [11] : Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan; [12] : Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: Apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? [13] : (Di antara amal-amal itu bagi orang yang mampu) ialah: Memerdekakan hamba abdi; [14] : Atau memberi makan pada hari kelaparan. [15] : Kepada anak yatim dari kaum kerabat,

Manakala orang yang mendustakan agama ialah mereka yang menzalimi anak yatim:

Al-Maun [1] : Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Al-Maun [2] : Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,

Miskin.

Keluhan orang miskin sangat berkesan di sisi Allah Subhanahuwata’ala, kerana Allah Subhanahuwata’ala yang menjadikan mereka miskin. Hidup ini bagaikan putaran roda, Allah Subhanahuwata’ala berkuasa menukarkan orang yang miskin menjadi kaya dan orang yang kaya bertukar menjadi miskin. Berhati-hatilah dengan keluhan orang miskin kerana ianya sangat mendapat tempat dan perhatian Allah Subhanahuwata’ala.

Al-Maun [1] : Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Al-Maun [3] : Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin. (3)


Kemusykilan atau pertanyaan