Puasa Untuk Mendampingi Allah

Al-Barqarah [183] Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

Apabila seseorang itu berpuasa dia tidak makan, tidak minum dan tidak melakukan percampuran pada waktu siang hari. Tidak makan, tidak minum dan tidak mempunyai isteri juga adalah sifat para Malaikat. Puasa yang cemerlang mampu menjadikan seseorang yang berpuasa mencapai makam (status) setaraf para Malaikat. Allah s.w.t sendiri tidak makan, tidak minum dan tidak berhajat kepada isteri.

An’am [101] (Dialah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Dia mempunyai anak sedang Dia tidak mempunyai isteri? Dia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.

Maka orang yang berpuasa juga mampu mendampingi Allah  dengan cara meninggalkan makan, minum, percampuran pada waktu siang hari dan segala perbuatan yang boleh menaikkan nafsu samada melalui penglihatan (mata) percakapan (mulut), pendengaran (telinga) atau pergerakan (tangan dan kaki).

Puasa yang sia-sia adalah puasa yang tidak mempunyai nilai, ia ibarat bateri yang sudah lemah, hanya layak dicampakkan ke dalam tong sampah. Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.”

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Riwayat Bukhari)

Matlamat puasa bukanlah sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi fokusnya adalah untuk melemahkan nafsu yang buruk dan seterusnya mendampingi Allah s.w.t. Oleh itu kita hendaklah mengawal diri daripada melakukan perkara yang keji semasa berpuasa. Perangi nafsu dan berjuanglah untuk menjagalah semua disiplin-disiplin di bulan Ramadahan, selain dari makan, minum, seks, jagalah lidah, mata, telinga, anggota lain dari perkara yang sia-sia agar kita mendapat rahmat (10 Ramadhan pertama), keampunan (10 Ramadhan kedua) dan kemerdekaan dari azab neraka(10 Ramadhan terakhir)

Kemusykilan atau pertanyaan