Solah, Zakat dan Kiriman Pahala

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah swt sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan. (Baqarah:110)

Dirikanlah Solah

Sembahyang itu adalah munajat, iaitu “personal contact” atau hubungan peribadi seorang Muslim dengan Allah swt dan kontrak sembahyang yang wajib ialah 5 waktu sehari semalam.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:“Sesungguhnya orang yang sedang sembahyang, adalah sedang munajat kepada Tuhannya ….. (diriwayatkan oleh Imam Ahmad).

Dalam satu hadith disebut “Sembahyang itu Mikraj orang Mukmin”. Orang mukmin ialah orang Islam yang patuh dan Mikraj pula bermaksud naik. Mukmin dinaikkan taraf atau status atau makamnya melalui ibadat sembahyang. 

Keluarkanlah Zakat

Zakat hanya diwajibkan ke atas harta yang diperolehi secara halal.  Zakat adalah bertujuan untuk membersihkan harta tersebut. Harta yang sememangnya haram tidak wajib dikeluarkan zakat dan tidak dapat dibersihkan sama sekali, melainkan dengan cara dihapuskan kesemuanya atau diberikan kesemuanya kepada orang lain (umpama banjir yang tidak dapat menghayutkan sebuah pulau). Oleh itu pastikan sumber harta yang diperolehi adalah halal dari awal lagi. 

Kiriman Pahala

“….dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah swt.”

Apa jua ibadah atau amalan yang dilakukan di dunia ini yang betul niatnya dan caranya akan dikirimkan pahalanya di negeri akhirat nanti. Setiap hari kita mengirimkan pahala melalui ibadah dan amalan yang dilakukan, seperti kiriman wang yang dilakukan oleh seseorang kepada seseorang di tempat lain melalui perbankan pada masa kini.

Dunia ini hanyalah satu tempat sementara dan di sinilah tempat kita diuji dan keputusannya diketahui di negeri Akhirat. Segala kebaikan yang telah dilakukan di sini (dunia) akan dihantar ke sana (kampung akhirat). Seperti pelaburan amanah saham, setiap yang dilaburkan pada masa dahulu akan diberi pulangan di masa hadapan (bijak dahulu bijak sekarang):

Muzammil [20]….dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah swt.

Sesungguhnya Allah swt sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan

Allah sifatnya “basar” iaitu melihat. Allah melihat tanpa memerlukan kepada biji mata, cahaya. Allah melihat semua yang dekat, jauh, samada dalam terang atau gelap. Kita pula hanya boleh melihat sesuatu dalam jarak tertentu dan dalam keterangan (cahaya) sahaja. Penglihatan Allah adalah penglihatan yang asli, kita cuma diberikan sedikit penglihatan untuk kegunaan di dunia ini.  Allah melihat apa yang zahir dan yang batin atau tersembunyi.

Kemusykilan atau pertanyaan