Jangan Jadi Manusia yang Rugi Dunia dan Akhirat

Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau dia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu dan kalau pula dia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah dia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah dia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata. (Hajj:11) 

Sebahagian manusia hanya menyembah Allah s.w.t “kadang-kadang” sahaja sedangkan Allah s.w.t adalah tuhan kepada segala-galanya. Sembahan selain daripada Allah samada jin, dewa, malaikat, berhala atau apa saja tidak mampu menolong kita. Bahkan mereka sendiri tidak mampu mencipta walaupun seekor lalat.

Al-Hajj [73] Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya….

Kita menyembah Allah s.w.t melalui ibadat sembahyang. Ada manusia yang sembahyang untuk murah rezeki, tetapi apabila tidak mendapat rezeki yang diinginkan, dia merajuk dan meninggalkan sembahyang. Sepatutnya kita meneruskan sembahyang kerana rezeki adalah daripada Allah, walaupun dia tidak beri seperti yang kita mahu, Allah tetap tuhan kita. Sembahyang juga adalah amalan pertama yang diperiksa (cukup atau tidak bilangannya) dan menentukan kedudukan kita di akhirat nanti. Bahkan Rasulullah s.a.w. mengajar kita supaya mengganti (qadha) sembahyang yang ditinggalkan. Selain itu sembahyang juga adalah hubungan antara manusia dengan tuhannya, apabila baik hubungannya, maka baiklah kedudukannya di akhirat nanti.

Allah s.w.t telah membuat dua (2) penempatan iaitu penempatan sementara di dunia dan penempatan yang kekal di negeri akhirat. Di penempatan pertama Allah s.w.t menguji kita dan menugaskan malaikat untuk mencatit markah amalan kita. Kedudukan di penempatan kedua ini, samada syurga atau neraka ditentukan oleh markah ujian kita semasa berada di penempatan pertama.

Setiap manusia mempunyai malaikat-malaikat yang ditugaskan untuk yang menjaganya, mencatit amalannya dan merekodkan perbuatannya.

Ada malaikat yang bertugas pada setiap 2 waktu sembahyang (Subuh dan Asar).

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Bersabda Rasulullah s.a.w. Malaikat malam dan malaikat siang sentiasa bergilir-gilir mendatangi kamu dan mereka itu berkumpul pada waktu sembahyang subuh dan ‘Asar kemudian naiklah yang menginap pada kamu, lalu Allah bertanya dan Dia sebenarnya memang mengetahui : Bagaimanakah keadaan hamba-hambaKu sepeninggalan kamu?” Jawab malaikat-malaikat itu; Kami tinggalkan mereka dalam sembahyang, dan kami datangi mereka sedang sembahyang pula”.(Hadis sahih riwayat Muslim)

Ada malaikat yang mencatit kebaikan dan keburukan manusia.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Malaikat yang di sebelah kanan (yang menjadi penulis kebaikan) ialah ketua kepada yang di sebelah kiri; maka apabila seseorang melakukan sesuatu kebaikan, dituliskan baginya kebaikan itu menjadi sama dengan sepuluh kebaikan yang tersebut, dan apabila ia melakukan sesuatu kejahatan, lalu Malaikat yang di sebelah kiri hendak menulisnya, berkatalah Malaikat yang disebelah kanan: “Tunggu dahulu;” lalu ia menunggu selama enam atau tujuh jam; kemudian jika orang itu beristighfar dari perbuatan jahat itu, tidaklah dituliskan sesuatu pun; dan jika ia tidak meminta ampun kepada Allah Taala, dituliskan baginya satu kejahatan sahaja.”

Malaikat Raqib dan Atid merekodkan percakapan manusia, manakala malaikat Kiraman Katibin merekodkan perbuatan manusia.

Qaf [17] Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya.[18] Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

Al-Infitar [10] Padahal sesungguhnya, ada malaikatmalaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu,[11](Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu) [12] Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.

Kemusykilan atau pertanyaan